Padah curi kerbau
Ahmad Mazlan
MARANG – Tiga lelaki ditahan polis kerana dipercayai cuba mencuri seekor kerbau milik seorang penduduk dalam satu kejadian di hadapan Masjid Kubu di Kampung Kubu, Pengkalan Berangan dekat sini, kira-kira jam 3.10 petang kelmarin.

Tangkapan ke atas tiga suspek menaiki sebuah lori itu dilakukan selepas pemilik ternakan itu menghubungi pihak polis apabila pengadu mengesyaki ketiga-tiga mereka termasuk salah seorang daripadanya suspek terbabit dikenalinya cuba mencuri haiwan itu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan ia disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri.

“Ketiga-tiga suspek berumur 41, 32, dan 24 tahun itu kemudiannya ditahan sekumpulan pegawai dan anggota polis untuk siasatan lanjut.

"Manakala lori dan ternakan itu dibawa ke balai polis,” katanya semalam.