KUANTAN - Seorang mekanik mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri besi bernilai RM108,000 milik kontraktor di tapak pembinaan bangunan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang dekat sini kira-kira empat tahun lalu.

Tertuduh, R Jivam, 22 dari Panching turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan pilihan, menghapuskan besi curi tersebut di sebuah premis, Jalan IM14/3 Taman Industri Ringan Prima Kota Fasa 2, di sini.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala tuduhan pilihan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail menawarkan jaminan RM4,000 ke atas tertuduh.

Bagaimana pun Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali memgurangkan jumlah itu kepada RM3,000 selepas tertuduh membuat rayuan berhubung jumlah jaminan tersebut.

Dalam rayuannya tertuduh merayu supaya wang jaminan itu dikurangkan memandangkan pendapatannya hanya RM900 sebulan sebagai mekanik dan terpaksa menyara isteri serta dua anak.

Mahkamah menetapkan 15 April depan sebagai tarikh pra bicara kes terbabit.