Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Mati ditembak kali kedua



ORANG ramai melihat mayat K. Muthazagal yang ditembak mati di sebuah medan selera di Simpang, Taiping, Perak, semalam.
TAIPING 15 April - Seorang peniaga barangan lusuh pernah terselamat dalam satu kejadian tembakan berhampiran rumahnya di Sungai Mas di sini, kira-kira tiga tahun lalu.
Namun, nasib tidak memihak kepada K. Muthazagal, 41, kali ini apabila dia menemui ajalnya setelah sekali lagi ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol di Simpang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas ditembak di bahagian belakang kepalanya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, mangsa ditembak semasa mengunjungi sebuah gerai makan Cina di Market Square, Simpang.
"Seorang lelaki berketurunan India yang memakai topi keledar telah melepaskan tembakan di bahagian belakang kepala mangsa.
"Peluru tersebut menembusi kepala mangsa dan terkena pada sebuah kereta Perodua Viva yang diletakkan kira-kira 15 meter di hadapan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Yusof, sejurus menembak mangsa, suspek terus melarikan diri bersama seorang rakannya menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Ego berwarna hitam.
Beliau berkata, semasa kejadian berlaku, terdapat kira-kira 20 pelanggan sedang menjamu selera di gerai tersebut.
Katanya, saksi kejadian mendakwa pistol yang digunakan oleh suspek untuk menembak mangsa adalah berwarna perak.
"Siasatan awal polis mendapati suspek berbadan tegap, mempunyai ketinggian kira-kira 175 sentimeter dan berpakaian kemas semasa kejadian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Yusof berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130416/je_03/Mati-ditembak-kali-kedua#ixzz2Qa564i1Z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment