Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Lelaki warga India edar dadah dihukum gantung



ANGGOTA polis mengawal Sadiq Batcha Kaja Modeen yang dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 15 April - Seorang juruelektrik warga India dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 5,830 gram dadah jenis ketamine yang disembunyikan di dalam kotak mesin pengisar, tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu terhadap Sadiq Batcha Kaja Modeen, 38, selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, hakim tersebut menyatakan, mahkamah tidak percaya dengan keterangan tertuduh yang mendakwa, kotak yang mengandungi dadah itu diberikan kepadanya oleh seorang individu di India.
''Keterangan Sadiq Batcha gagal mematahkan kes pendakwaan dan mahkamah mendapati bersifat penafian semata-mata,'' kata beliau.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan pemeriksaan penumpang 1 (CPP1) Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 7.40 pagi, 1 Februari 2012.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azamuddin Abd. Aziz manakala Sadiq Batcha tidak diwakili peguam bela setelah peguam bela terdahulu menarik diri.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan menampilkan dua saksi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130416/je_06/Lelaki-warga-India-edar-dadah-dihukum-gantung#ixzz2Qa62bj4u
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment