DHAKA - Sekurang-kurangnya 16 nelayan terbunuh selepas diserang lanun berhampiran Kutubdia, sebuah pulau di luar bandar pantai Bazar Cox di tenggara Bangladesh.

Dipetik AFP, Ketua Polis Cox Bazaar, Mohammad Azad Mia berkata, Tentera Laut Bangladesh dan polis menemui 16 mayat terapung di Teluk Bengal.

“Mayat ditemui dalam keadaan kaki dan tangan terikat. Kami percayai kesemuanya dihumban ke laut dalam keadaan hidup,” katanya.

Menurutnya, tujuh lagi nelayan disahkan masih hilang manakala pihak berkuasa sedang meningkatkan operasi mencari dan menyelamat.

“Kesemua mereka berada di perairan itu sejak minggu lalu untuk aktiviti penangkapan ikan.

Ogos lalu, Tentera Laut Bangladesh  turut menjalankan operasi sama selepas 50 nelayan dilaporkan diculik di perairan tersebut.