Search This Blog

Friday, April 12, 2013

IWK siasat punca tangki meletup

IWK siasat punca tangki meletup
Lokasi tangki najis yang meletup Selasa lalu di Masjid Tanah. - Foto Arifin Salleh Masjid Tanah: Indah Water Konsortium (IWK) akan melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tangki najis meletup di sini, pada Selasa lalu.

Pengurus Bahagian Rawatan IWK Melaka, Mohd Fadzil Zakaria, berkata insiden yang menyebabkan dua beranak cedera termasuk seorang melecur itu, turut mengejutkan pihaknya.
Sambil melahirkan simpati ke atas Surani Jayali, 48, dan anaknya, Zakuan Syahmi Zaili, 9, yang melecur di muka, katanya, sepasukan pegawai penyiasat sudah dihantar melakukan siasatan.


Kami terkejut dan bersimpati dengan nasib dua beranak itu. Siasatan juga sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar insiden berkenaan, katanya ketika mengulas mengenainya di sini, semalam.

Akhbar ini semalam, melaporkan Zakuan melecur di muka manakala Surani turut menerima nasib sama akibat terkena percikan api letupan itu. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapat rawatan sejurus kejadian.

Surani mendakwa letupan berlaku sejurus dia menyalakan api pada sehelai kertas, ketika hendak memasukkan ketulan karbaid ke dalam tangki najis berkenaan.

Katanya, ketika kejadian anaknya sedang mencangkung di hadapan tangki berkenaan sambil membuka penutupnya.
Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan sama ada tangki yang meletup itu adalah di bawah selenggaraan IWK.

Sedia laporan lengkap

Katanya, IWK akan menyediakan laporan lengkap mengenai insiden berkenaan dalam masa terdekat ini, selepas siasatan selesai.

Lazimnya kami akan memastikan tangki najis yang di selenggara dalam keadaan selamat dan terurus selain mengambil tindakan segera sekiranya menerima aduan, katanya. 

No comments:

Post a Comment