KOTA BHARU - Hanya kerana mencuri dompet yang mengandungi RM4, seorang remaja dihukum penjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Majistret Nik Habri Muhammad menjatuhkan hukuman tersebut selepas menerima pengakuan bersalah Anis Shahiran Shukri, 19, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan pada jam 11 pagi, 7 April lalu, di Bazar Tuan Padang, Jalan Hospital di sini tertuduh dengan niat mencuri sebuah beg duit berwarna biru berjalur hijau mengandungi wang tunai berjumlah RM4, kad pengenalan diri dan kad bank milik Wan Nur Iylia Khairunisa Wan Muhammad, 19.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukuum penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan penjara atau sebat.

Mengikut fakta kes, Wan Nur Iylia Khairunisa telah meletakkan dompetnya di atas timbunan kain di sebuah kedai di Bazar Tuan Padang. Kira-kira jam 11 pagi, bapanya Wan Mohammad Noor melihat seorang lelaki memasuki kedai dan mengambil dompet itu kemudian melarikan diri.

Melihatkan keadaan itu, bapanya terus mengejar lelaki tersebut dan dengan bantuan orang ramai di tempat kejadian, tertuduh berjaya ditahan bersama beg duit tersebut.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Noor Dayana Muhamad.