Argentina isytihar berkabung tiga hari
Hujan lebat berterusan sejak Selasa lalu menyebabkan hampir seluruh kawasan La Plata ditenggelami banjir. Foto: Getty
BUENOS AIRES - Argentina mengumumkan tiga hari berkabung kebangsaan selepas sekurang-kurangnya 54 terkorban dalam insiden banjir kilat di bandar La Plata, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Dipetik Al-Jazeera, Gabenor Wilayah Buenos Aires, Daniel Scioli berkata, seramai 1,500 penduduk juga terpaksa dipindahkan selepas paras air meningkat secara mendadak.

"Kebanyakan penduduk yang panik bertindak memanjat bumbung rumah mereka dan beberapa mangsa dilaporkan mati lemas kerana terperangkap dalam kereta," jelasnya.

Media tempatan melaporkan, taburan hujan juga mencecah antara 300 dan 400 milimeter dalam tempoh dua jam hingga menyebabkan kawasan berdataran rendah di sekitar bandar itu ditenggelami banjir.

Sementara itu, Presiden Cristina Kirchner turut melawat mangsa banjir dan berjanji untuk menempatkan lebih ramai polis bagi mengelakkan kes kecurian di kawasan tersebut.