3 penyokong Pas ditahan reman
Jalaluddin memakaikan pangkat kepada salah seorang anggota yang diraikan dalam majlis terbabit di IPK semalam.
KOTA BHARU - Tiga penyokong Pas ditahan reman bermula semalam, berhubung isu kekecohan yang berlaku di antara penyokong Pas dan Umno di Pasir Puteh pada 4 April lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ketiga-tiganya ditahan selepas diserahkan kepada polis oleh para penyokong Pas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dua hari lalu.

Jalaluddin berkata, perbalahan berlaku di antara dua penyokong parti politik ketika penyokong Barisan Nasional (BN) dihalang penyokong Pas semasa memasang bendera parti berkenaan, di sekitar kawasan Pasir Puteh dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Khamis lalu dan berlarutan sehingga berlaku kejadian melanggar kereta penyokong BN .

“Ketiga-tiga suspek berkenaan dipercayai penyokong Pas cuba melanggar kereta penyokong parti pihak lawan sebanyak tiga kali, dalam kejadian itu.

 “Ekoran insiden itu, pemandu kereta terbabit, membuat laporan polis di  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh dan setakat ini kita sudah menjalankan siasatan berhubung kes itu di bawah seksyen 336 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

“Kesemua ditahan reman selama empat hari dan kertas siasatan diserahkan kepada Ketua Unit Pendakwaan (KUP) untuk tindakan susulan,” katanya kepada media semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pemakaian pangkat kepada anggota 24 pegawai dan anggota yang dinaikkan pangkat di atas kecemerlangan dalam perkhidmatan mereka dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) semalam.

Sementara itu, beliau menasihatkan mana-mana penyokong parti politik supaya berkempen secara berhemah dan tidak melakukan sebarang provokasi di antara satu sama lain memandangkan setakat ini, sebanyak 16 laporan polis sudah diterima berhubung kejadian seumpama itu.

Mengulas mengenai kes penemuan kubur di Kampung Limau Manis, Jalan Hamzah di sini yang digali polis kelmarin, pihak patologi mengesahkan kesemua bungkusan pasir yang ditemui di dalam kubur bersama lilin di kawasan  terbabit menjawab segala persoalan.

“Berkemungkinan ia dilakukan pihak yang mengamalkan kepercayaan khurafat dan tiada unsur jenayah dilaporkan dalam kes ini,” katanya.