2 maut terjatuh bangunan
Salah seorang saksi kejadian menutup mayat mangsa yang terjatuh dari bangunan berkenaan.
BATU PAHAT – Seorang lelaki dan wanita ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah pasar raya di Jalan Bakau Chondong, di sini, kira-kira jam 7.40 malam kelmarin.

Saksi kejadian yang dikenali sebagai Hafiz berkata, pasangan itu dilihat keluar dari pusat hiburan dengan memakai penutup mata. Dia yang terkejut dengan tindakan pasangan terbabit kemudian mendengar dentuman yang kuat di bahagian bawah pasar raya berkenaan.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian untuk melihat dan mendapati wanita itu jatuh di atas sebuah kereta yang berada di bahagian bawah sebelum melantun ke longkang berhampiran.

“Lelaki itu pula berada dalam keadaan mengerikan di bahagian longkang tempat parkir kereta tidak jauh daripada wanita berkenaan jatuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Hafiz berkata, ketika itu dia sedang membeli barangan keperluan harian sambil berjalan-jalan bersama keluarga di pasar raya tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kedua-dua mangsa itu di percayai penduduk setempat dan berusia lingkungan 35 tahun.

“Identiti wanita itu masih belum dapat dikesan manakala lelaki berkenaan berasal dari Taman Bukit Pasir. “Motif kejadian masih belum diketahui dan setakat ini kes disiasat kematian mengejut,” katanya.

Beliau mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya eh datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.