16 warga asing ditahan
Warga asing yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR - 10 warga asing termasuk penyelia premis dan tiga pelayan pelanggan Filipina ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, di sebuah pusat siber di Bukit Bintang, di sini, awal pagi semalam.

Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, premis itu dipercayai turut menawarkan perjudian dalam talian.

Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan dipercayai penyelia premis tersebut cuba melengah-lengahkan masa dan menawarkan rasuah kepada anggota penguat kuasa ditahan untuk siasatan lanjut.

"Lima pelanggan termasuk dua wanita Filipina dan Vietnam ditahan kerana tiada dokumen perjalanan.

“Semua yang ditahan lingkungan usia 20 hingga 45 tahun dan hasil siasatan mendapati tiga pelanggan lelaki yang ditahan itu berasal dari Pakistan, India dan Peru,” katanya.

Dalam operasi berasingan kira-kira jam 12 pagi, enam warga asing termasuk seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai tukang urut di kaki lima Lorong Haji Taib, Chow Kit, ditahan kerana tiada dokumen dan pas atau permit kerja (PLKS).

“Ketika tangkapan dilakukan, sebahagian daripada mereka sedang leka mengurut kaki pelanggan,” katanya.

Difahamkan, Operasi ‘Belanja dan Sayang’ diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Mohd Zamry Mohd Nor bersama 12 orang anggota penguat kuasa itu dijalankan atas maklumat dan aduan orang awam.

Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kompleks KDN Jalan Duta untuk tindakan lanjut.