pacuan empat roda
Keadaan pacuan empat roda dinaiki mangsa terbalik di KM397.8 LRUS, pagi semalam.


KUALA KUBU BHARU - Kenderaan pacuan empat roda dinaiki lima warga Thailand yang terbabit kemalangan maut di Kilometer 397.8 Lebuh Raya Utara Selatan (LRUS) pagi semalam, dipercayai terbabas sendiri sebelum terbalik di lorong kanan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa dalam perjalanan dari Klang ke Pattani, Thailand sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 7.50 pagi itu.

“Pemandunya dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan tersebut dan terbabas ke kiri jalan lalu terbalik beberapa kali sebelum tersadai di lorong kanan.

“Kereta mangsa turut melanggar sebuah kereta Volkswagen dinaiki seorang warga Scotland bersama rakannya dari Singapura yang melalui kawasan tersebut namun, pemandu dan penumpang kereta terbabit hanya cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda itu dikenali sebagai Ridwan Dorloh, 34, dan empat penumpang lain termasuk isterinya, Juwainee Dorloh, 35, dua anaknya, Ikrom, 3, dan Arkom, 1, dan adik iparnya, Chalisa Uma, 29.

Katanya, kejadian itu menyebabkan pemandu pacuan empat roda patah bahu kiri, manakala isterinya maut di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dua anak mangsa terselamat termasuk adik mangsa.