Lori jatuh ke dalam tali air
Keadaan lori yang jatuh dalam kawasan tali air petang kelmarin.
KOTA BHARU - Seorang pemandu lori terpaksa berdepan detik cemas apabila kenderaan berat muatan pasir berkapasiti tiga tan itu, terjatuh ke dalam kawasan tali air ketika menyeberangi jambatan kecil di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa di sini petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu disedari oleh penduduk berdekatan, Shaari Isa, 54, ketika dia hendak menunaikan Solat Asar.

“Saya baru sahaja hendak mengambil wuduk dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat dan saya terus bergegas keluar rumah untuk memeriksa dari mana datangnya bunyi berkenaan. Alangkah terkejutnya saya melihat sebuah lori berada di kawasan tengah-tengah jambatan yang runtuh selepas lori itu cuba menyeberanginya,” katanya.

Shaari berkata, jambatan kecil yang dibina di bawah projek Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) itu pernah runtuh dua tahun lalu dan dibaik pulih semula setahun kemudian.

“Mungkin struktur jambatan terbabit yang sudah lama, menyebabkan ia mudah runtuh dan tidak sesuai untuk digunakan kenderaan berat.

“Mengikut kata rakan-rakan yang sempat bertanya kepada pemandu lori itu, dia sebenarnya sesat dan mencari jalan keluar dari kawasan tersebut untuk ke satu destinasi bagi menghantar muatan pasir yang dibawa,” katanya.

Sementara itu Sinar Harian cuba mendapatkan pemandu lori berkenaan, namun dia enggan ditemu bual kerana masih terkejut dengan kejadian itu.