Kes rogol pelancong As: Enam lagi ditahan
Kes rogol pelancong As
SHAH ALAM - Polis menahan enam individu lagi, termasuk tiga perempuan, bagi membantu siasatan kes samun dan rogol seorang wanita warga Amerika Syarikat pada 11 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis menahan seorang suri rumah berusia 28 tahun di sebuah rumah di Balakong, Khamis lalu.

“Susulan tangkapan itu, kami memberkas lima lagi suspek, termasuk dua wanita berusia dalam lingkungan 28 hingga 39 tahun di sebuah apartmen di Taman Sungai Jelok, Kajang, semalam.

“Kami turut merampas sebilah pisau dan enam telefon bimbit dalam serbuan pada jam 6.30 pagi itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.

 Menurutnya, sehingga kini polis sudah menahan tujuh suspek.

“Salah seorang daripada mereka ditahan di Jalan Klang Lama pada 13 Mac lalu. Kami percaya dapat menyelesaikan kes ini dengan tertangkapnya kesemua suspek,”katanya.