Jadi buruan lapan ah long
Sue menunjukkan buku catatan hutang yang diberikan oleh ah long untuk urusan pembayarannya.
BATU PAHAT – “Saya tak tahu pada masa itu, kenapa saya pinjam duit dengan ah long, apa yang ada dalam fikiran saya hanya perlukan duit untuk modal berniaga,” kata seorang penjaja dikenali Sue, 20.

Sue yang menjaja kuih berhampiran pekan Parit Raja, kini sengsara kerana sering diugut dan digertak oleh ah long agar melunaskan hutangnya.

Menurutnya, dia menjadi buruan lapan ah long sejak setahun lalu selepas meminjam RM1,000 setiap seorang daripada mereka.

Bagaimanapun Sue berkata, dia terpaksa menanggung 'bunga' yang tinggi sehingga menyebabkan hutangnya kini mencecah RM32,000.

“Saya tiada kerja lain, yang hanya saya tahu ialah berniaga kuih, tapi saya tidak mempunyai modal...sebab itulah saya pinjam duit daripada mereka untuk terus berniaga.

“Saya hanya pinjam RM1,000 pada mulanya, dan dalam perjanjian itu saya perlu bayar RM50 setiap minggu, tetapi sehingga ke hari ini hutang tersebut mereka katakan masih belum lagi habis.

“Begitu juga dengan mereka yang lain, saya terpaksa pinjam untuk membayar hutang yang mula-mula saya pinjam...saya sangkakan masalah ini akan selesai, tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Sue lagi, lebih menakutkan selain digertak ah long, dia juga menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) serta beberapa nota ugutan yang dihantar ke rumahnya.

“Ada di antara mereka ini menyatakan mahu menculik anak saya, dan ada juga yang mahu menyimbah cat merah ke rumah saya, dan berbagai-bagai lagi yang membuatkan saya takut untuk keluar dari rumah.

“Saya harap ada pihak yang dapat membantu saya menyelesaikan masalah yang saya hadapi ini. Saya bukan mahu lepaskan diri untuk tidak membayar hutang, tetapi saya takut dengan ugutan yang saya terima ini.

“Menurut perkiraan saya, ada sesetengah daripada wang mereka yang saya pinjam ini telah pun langsai, tetapi mereka masih lagi kejar dan ugut saya untuk membayar hutang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan polis berkaitan ugutan daripada ah long di Parit Raja.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan selain menasihatkan orang ramai terutamanya peniaga supaya dapat menggunakan saluran yang betul jika mahu membuat pinjaman wang.

“Ada sesetengah golongan peniaga ini tidak berfikir panjang, mereka ambil jalan mudah untuk mendapatkan duit tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari, seperti ugutan dan sebagainya.

“Saya juga nasihatkan kepada mereka yang menerima ugutan serta perkara yang mempunyai unsur jenayah supaya membuat laporan polis dengan segera, supaya tindakan susulan dapat dilakukan,” katanya.