Cedera kaki kanan dilanggar kereta
Pak Mat terlantar di hospital apabila terlibat dalam kemalangan petang Selasa lalu.
BACHOK - Seorang warga emas cedera pada bahagian kaki dan buku lali kanannya apabila dilanggar sebuah kereta, Selasa lalu.

Mohamad Ismail, 65, atau lebih dikenali sebagai Pok Dek atau Pak Mat, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, dia menunggang motosikal dari rumahnya di Kampung Nelayan Kandis untuk ke kedai berdekatan.

“Masa tu, saya dengan motor nak ke seberang jalan. Di simpang keluar, saya nak lintas jalan tapi tiba-tiba sebuah kereta datang dari Tok Bali terus langgar saya.

“Saya jatuh dan motor rosak teruk. Orang kampung yang tengok kejadian tu bawa saya ke hospital,” katanya. Pok Mat seorang yang dikenali di sekitar Kampung Telong, Kandis, Melawi
dan Teko Air Merah berikutan sikapnya yang ramah serta mempunyai ramai kenalan.

Dia banyak membantu penduduk menyalurkan maklumat berkaitan pertanian, program kemasyarakatan, masalah setempat dan sebagainya.

“Saya dimasukkan ke wad petang Selasa lalu, dan kini berada di tingkat 4 selatan Hospital Universiti Sains Malaysia. Saya tak tahu berapa lama harus tinggal di sini sehingga dimaklumkan doktor nanti. Saya cuma berdoa agar cepat sembuh seperti biasa,” katanya.

Pok Mat yang kehilangan isterinya tahun lalu akibat darah tinggi, kini tinggal bersama anak-anaknya di Kandis.