Bahana tiada kon amaran
Lutut dan siku Yasir terpaksa dijahit selepas terbabit kemalangan susulan kecuaian kontraktor meletakkan tanda amaran di jalan yang sedang dibaik pulih.
TAMPIN - Seorang penunggang motosikal cedera dan terpaksa menanggung kos rawatan serta membaiki kenderaannya akibat kegagalan pihak kontraktor meletakkan kon amaran di jalan yang sedang dibaikpulih menyebabkan dia dan isterinya terbabit kemalangan.

Mangsa yang ingin dikenali Yasir, 40-an dan isterinya, Siti (bukan nama sebenar), 29, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, 8 Mac lalu, dia dan isterinya dalam perjalanan pulang dari Air Kuning ke Gemencheh.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia yang biasa menggunakan laluan tersebut tidak menyedari ada kerja membaikpulih jalan sedang dilakukan berikutan ketiadaan sebarang tanda amaran dan pemberitahuan yang diletakkan di situ.

“Apabila sampai di jalan itu, saya gagal mengawal motosikal kerana permukaan jalan yang tidak rata menyebabkan saya dan isteri terjatuh.

“Ada pengguna jalan raya yang berhenti untuk membantu kami, namun saya cekalkan hati menunggang motosikal balik ke rumah dan menunggu saudara terdekat membawa kami mendapatkan rawatan di klinik ,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya, dekat sini, semalam.

Yasir berkata, susulan kemalangan itu, dia mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan antaranya di lutut dan siku tangan kanannya sehingga terpaksa menerima enam jahitan dikedua-dua bahagian tersebut.

Tambahnya, isterinya pula cedera ringan di beberapa bahagian kanan badannya.

“Buat masa ini, kos membaiki motosikal yang hancur di bahagian hadapan dan rawatan di klinik sudah mencecah sebanyak RM500. Pada masa sama, ada pihak yang sudi membantu saya mendapatkan sedikit pampasan daripada pihak kontraktor terbabit.

“Bagaimanapun, perkara penting yang saya harapkan adalah tanggungjawab semua  kontraktor mengambil langkah berwaspada meletakkan tanda amaran di jalan yang dibaikpulih bagi mengelakkan pengguna jalan raya menjadi mangsa.