Search This Blog

Sunday, March 31, 2013

15 maut bangunan runtuh di Tanzania



Gambar dikeluarkan agensi berita Xinhua, menunjukkan orang ramai serta anggota pasukan penyelamat bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi bangunan runtuh di Dar es Salaam, Tanzania, semalam. - AGENSI
DAR ES SALAAM 29 Mac - Sekurang-kurangnya 15 terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi terperangkap selepas sebuah bangunan setinggi 12 tingkat yang sedang dibina runtuh di pusat komersial Tanzania, hari ini.
Menurut saksi, ada di antara orang ramai yang menggunakan tangan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian yang berlaku di daerah Kariakoo, tengah Dar es Salaam.
Ketika kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Malaysia) itu, berpuluh-puluh pekerja pembinaan dipercayai berada di dalam bangunan, sementara kanak-kanak sedang bermain di sekitar bangunan berkenaan.
"Sebanyak 15 mayat telah ditemui daripada runtuhan bangunan setakat ini. Dua orang juga diselamatkan hidup-hidup dan operasi menyelamat masih lagi diteruskan,'' kata Ketua Polis Dar es Salaam, Suleiman Kova kepada pemberita di tempat kejadian.
Jelas beliau, masih terlalu awal untuk menentukan punca kejadian, namun pemilik bangunan berkenaan katanya perlu bertanggungjawab di atas insiden tersebut.
Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete yang mengunjungi lokasi kejadian turut merakamkan ucapan takziah menerusi akaun Twitternya.
"Kami berdoa supaya mereka yang masih hilang akan ditemui selamat," katanya.
Pesuruhjaya bandar Dar es Salaam, Saidi Mecky Sadiky pula berkata, kira-kira 60 orang terdiri daripada buruh, penjaja dan kanak-kanak dipercayai berada di tempat kejadian ketika insiden berlaku.
Sekurang-kurangnya empat maut di bandar ini pada 2008 apabila sebuah bangunan runtuh. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130330/lu_07/15-maut-bangunan-runtuh-di-Tanzania#ixzz2P8Issfng
© Utusan Melayu (M) Bhd 

7,000 pesakit gigi mungkin dijangkiti HIV




30 Mac 2013
7,000 pesakit gigi mungkin dijangkiti HIV
Klinik pergigian W. Scott Harrington di Tulsa. - Foto ihsan Google
TULSA, Oklahoma - Sekitar 7,000 pesakit yang pernah mengunjungi klinik pergigian di pinggir bandar Tulsa dan Owasso sepanjang enam tahun lalu dikhuatiri dijangkiti HIV dan hepatitis.

Pasukan penyiasat mendapati pembantu-pembantu di klinik kendalian Dr Wayne Harrington mengendalikan teknik-teknik yang hanya boleh dilakukan oleh doktor pergigian yang layak.

Selain itu, prosedur pensterilan dan jarum tidak dikendalikan dengan betul.

"Saya akan memberitahu anda bahawa apabila... kami meninggalkan (klinik pergigian ini), kami seolah-olah sakit," kata Pengarah Eksekutif Lembaga Pergigian Oklahoma, Susan Rogers.

"Bermakna, ia menunjukkan betap teruknya (keadaan) dan saya dapat lihat begitu banyak benda buruk yang digunakan selama ini," kata beliau lagi.

Jabatan Kesihatan Oklahoma akan menawar ujian HIV dan hepatitis secara percuma kepada beribu-ribu pesakit yang pernah mengunjungi klinik W. Scott Harrington.

Ia telah membolehkan pekerja-pekerja yang tidak layak dan tidak berlesen mengendalikan prosedur sedatif ke atas pesakit, kata Rogers.

"Perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali dan tidak sah di Oklahoma," kata beliau lagi.

Surat telah dihantar kepada 7,000 pesakit yang pernah mengunjungi klinik Harrington di Tulsa dan Owasso sejak 2007.

Menurut kandungan surat itu, pesakit-pesakit berkenaan dinasihat menjalani ujian hepatitis B, hepatitis C dan HIV.

Pihak berkuasa berkata jarang seseorang dijangkit kuman tetapi ujian adalah penting dalam keadaan seperti ini.

13 keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran




31 Mac 2013
TANAH MERAH - Seramai 13 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah terbakar di Kampung Banggol Kemunting di sini hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Machang, Timbalan Penguasa Bomba Che Rusli Che Sulaiman berkata kejadian berlaku pada pukul 1.30 tengah hari, melibatkan 14 buah rumah kayu yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

"Pihak bomba menerima panggilan daripada penduduk kampung pada pukul 1.45 tengah hari dan tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.

"Seramai 16 anggota bersama tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah dan Machang dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit walaupun menghadapi angin kencang.    "Tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa dilaporkan. Punca
kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Seorang mangsa Zahara Aziz, 36, berkata semasa kejadian dia dan suami serta dua anak mereka berada di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.

"Saya kemudian keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan melihat sebuah rumah jiran sedang marak dijilat api.

"Saya kemudian masuk kembali ke dalam rumah dan memberitahu suami mengenai kebakaran dan hanya sempat selamatkan sedikit daripada barangan rumah," katanya.

Azizah Che Musa, 50, berkata dia yang sedang berehat di ruang tamu bersama dua cucunya hanya menyedari mengenai kebakaran selepas diberitahu jirannya.

"Saya terus mendapatkan cucu-cucu saya dan bawa mereka keluar rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Kesemua mereka kini menumpang di dewan klinik berhampiran dan rumah saudara mara. - Bernama

Polis tahan empat anggota 'Geng Fitri' samun penjual akhbar




29 Mac 2013
MELAKA - Polis Melaka menahan empat lelaki termasuk ketua kumpulan 'Geng Fitri' dipercayai terlibat dalam jenayah samun penjual surat khabar pada awal pagi di sekitar Melaka Tengah sejak Februari lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kesemua lelaki berusia antara 19 hingga 24 tahun itu berjaya ditahan di empat lokasi berbeza di sekitar Bukit Baru dan Duyong dalam satu operasi khas antara 4 petang hingga 8 malam semalam.
  
Beliau berkata hasil penubuhan pasukan khas bagi menjejaki ahli kumpulan tersebut polis berjaya melakukan tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 21 tahun di sebuah restoran di Bukit Baru pada 4.30 petang.
  
"Hasil soal siasat, polis berjaya menahan tiga lagi ahli kumpulan tersebut termasuk ketua kumpulan mereka yang dikenali sebagai Fitri berusia 22 tahun di tiga lokasi berbeza di Taman Permatang Duyong, Taman Sri Duyong dan Taman Tasik Duyong.
  
"Polis menerima hampir 20 laporan jenayah samun melibatkan penjual surat khabar dan siasatan awal mendapati kesemua lelaki tersebut mengaku terlibat dalam enam jenayah samun berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya siasatan turut mendapati kesemua lelaki tersebut tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ketua kumpulan tersebut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah.
  
Raja Shahrom berkata kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
  
Beliau berkata polis turut merampas empat motosikal milik kesemua lelaki tersebut, tiga topi kaledar, lima telefon bimbit, satu  tukul besi, spanar, pisau lipat dan beberapa keping kad sim.
  
Katanya pada masa sama pihaknya sedang menjejaki dua lagi anggota kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Rashid dan Lan berusia lingkungan 20-an kerana dipercayai turut terlibat dalam jenayah tersebut.
  
Raja Shahrom berkata Geng Fitri bergerak dalam kumpulan pada awal pagi dan mengekori penjual surat khabar sehingga di kawasan sunyi sebelum menahan dan mengancam mangsa menggunakan parang, pisau dan topi keledar agar menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai atau telefon bimbit.
  
Beliau berkata kumpulan terbabit turut menyasarkan individu yang keluar berjoging dan ke pasar antara 5 hingga 6 pagi. - Bernama

Rumah terbakar, bakal pengantin mungkin tunda majlis perkahwinan




29 Mac 2013
KUANTAN - Seorang bakal pengantin mungkin terpaksa menunda majlis perkahwinannya apabila rumah keluarganya di Kampung Pandan Dua, dekat sini rentung dalam kebakaran awal hari ini yang turut memusnahkan semua kelengkapan perkahwinan.
  
Emma Azila Sazali, 26, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 27 April ini berkata bapanya Sazali Sabtu, 54, pesara tentera, ibunya Normah Mokhtar, 53, juruteknik di Jabatan Kerja Raya Pahang dan tiga adiknya sedang nyenyak tidur apabila dikejutkan jeritan adiknya Khairul Izam, 24, mengatakan ada api dalam rumah.
   
"Api marak terlalu cepat dan saya bersama ahli keluarga lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana terlalu panik dan berlari keluar sehelai sepinggang untuk selamatkan diri," katanya dengan sebak dan menurutnya keluarganya mengalami kerugian lebih RM110,000.
  
Jurutera Elektrikal di sebuah syarikat swasta itu berkata mereka kini menumpang di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan dan menurutnya keluarganya masih belum dapat berbuat keputusan sama ada meneruskan majlis pernikahannya mengikut tarikh ditetapkan atau menundanya.
  
Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail hari ini mengunjungi keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan RM5,000 dan menurutnya Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan menyumbang bantuan segera bagi meringankan bebanan keluarga itu.
  
Sementara itu  Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas. - Bernama

Wanita maut leher tertusuk besi



SYAMILAH ZULKIFLI
31 Mac 2013
Wanita maut leher tertusuk besi
Keadaan kereta mangsa yang remuk dan terdapat kesan lubang di cermin bahagian hadapan.
 V Inthirani
V Inthirani
SEREMBAN – Seorang wanita menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila lehernya tertusuk sebatang besi sepanjang setengah meter yang dipercayai terpelanting dari sebuah lori arah bertentangan ketika sedang memandu di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh, semalam.

Dalam kejadian  jam 10.45 pagi itu, mangsa, V Inthirani, 50, bersama adiknya, V Thilaga, 32, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Sejati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Thilaga  berkata, sebelum kejadian, dia menyedari kereta mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan yang tidak membawa muatan.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba, saya lihat satu objek panjang berwarna hitam terpelanting ke arah kereta kami sebelum menembusi cermin bahagian hadapan.

"Pada masa sama, kereta dipandu kakak hilang kawalan dan berpusing sebelum terhenti di tepi jalan," katanya.

Thilaga berkata, semuanya berlaku dalam sekelip mata dan apabila menoleh ke kanan, dia tergamam melihat baju Inthirani berlumuran darah sambil dia memegang sebatang besi yang terpacak di lehernya.

"Ketika itu kakak berada dalam keadaan separuh sedar. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran datang menghulurkan bantuan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Thilaga, dia hanya mampu menangis apabila orang ramai memberitahu kakaknya sudah tidak bernyawa.

“Peristiwa itu berlaku terlalu pantas dan saya sangat sedih kejadian yang tidak disangka-sangka itu meragut nyawa kakak saya.

“Malah paling menyedihkan, cuma beberapa minit saja lagi kami sepatutnya dah sampai ke rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan lori yang terlibat dan sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Lelaki ditemui mati dalam lokap polis




30 Mac 2013
GEORGETOWN - Seorang lelaki dalam tahanan polis ditemui mati dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata Tan Chin Siang, 43, ditemui mati oleh pegawai penjara pada pukul 9.30 malam.

"Suspek telah dibicara di Mahkamah George Town di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya semalam dan sepatutnya dihantar ke penjara  Jawi hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau  Pinang untuk bedah siasat. - Bernama

Kanak-kanak antara 3 lemas di Pantai Chendering




30 Mac 2013
KUALA TERENGGANU - Tiga dari satu keluarga mati lemas di Pantai Chendering di sini semalam ketika keluarga berkenaan serta sanak saudara berkelah di kawasan pantai.
Insiden pada kira-kira 6.30 petang itu meragut nyawa Adam Daniel Mohd Hafiz, 7; bapanya Mohd Hafiz Harun, 32; dan bapa saudaranya Saifuddin Harun, 46.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Adam Daniel dilaporkan lemas ketika sedang mandi di pantai berkenaan sebelum bapa dan bapa saudaranya itu cuba menyelamatkan mangsa namun usaha itu gagal dan mereka turut mengalami kesulitan di air.
Berikutan itu, dua lagi saudara dari keluarga berkenaan Burhanuddin Helmi Harun, 43, dan Idzham Tayib, 41, turut serta membantu bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa-mangsa itu.
Burhanuddin dan Idzham Tayib kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan sebuah jentera enam anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan pantai.
Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu Kamerul Bieza Mohd Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke HSNZ untuk bedah siasat.  - Bernama

Pekerja bengkel tidak mengaku rogol gadis



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2013
PETALING JAYA - Seorang pekerja bengkel motor mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini, semalam, terhadap pertuduhan merogol gadis berusia 14 tahun, dua minggu lalu.

Mohamad Redzuan Md Zain, 25, didakwa melakukan perbuatan terhadap pelajar itu di sebuah rumah di Seri Kembangan, 16 Mac lalu antara jam 7.30 malam dan 9.15 malam keesokan harinya.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana saling mengenali mangsa.

Mohamad Redzuan, bagaimanapun memohon mahkamah menawarkan jaminan ke atasnya kerana dia menanggung keluarganya.

Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini bagi sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan, serta melarang tertuduh mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Empat pekerja ladang samun majikan sendiri




30 Mac 2013
TEMERLOH - Melihat jumlah RM36,000, apa lagi dalam bentuk tunai, boleh menyebabkan sesetengah orang "gelap mata".

Empat lelaki pekerja Indonesia malah turut terpukau bila melihat wang tersebut yang dibawa majikan mereka, berselerak di depan mata - sebahagiannya wang gaji mereka sendiri. 

Sebaik sedar dari lamunan, kumpulan lelaki itu segera bertindak menyerang majikan mereka yang datang bersama isteri dan anaknya, dan sepantas kilat mereka melarikan beg mengandungi wang tersebut.

Kejadian berlaku di ladang Felcra Jenalih, kira-kira 17 kilometer dari Pekan Lanchang, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh Pemangku ACP Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian 2 petang itu, majikan berusia 62 tahun, bersama isterinya, 60, dan seorang anak lelakinya, 31, pergi ke rumah kongsi berkenaan bagi membayar gaji kepada pekerjanya.

"Semasa anak mangsa sedang mengira wang untuk membayar gaji, tiba-tiba mereka diserang empat pekerja Indonesia yang mungkin 'kelabu mata’ melihat wang tunai yang banyak. 

"Suspek menggunakan kayu dan besi memukul ketiga-tiga mangsa sebelum merampas dan melarikan beg yang mengandungi wang tunai RM36,000 itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, akibat dipukul, mangsa mengalami luka di bahagian dahi dan menerima lima jahitan, manakala isterinya pula patah tangan kanan dan anak lelaki mereka hanya mengalami cedera ringan.

Menurutnya, mangsa sebelum itu membawa wang tunai RM50,000 dan telah mengagihkan RM14,000 kepada beberapa pekerjanya sekitar ladang di Lanchang sebelum membawa baki RM36,000 untuk diagihkan kepada beberapa pekerja lain.

"Berdasarkan siasatan awal, keempat-empat suspek yang berusia antara 22 hingga 38 tahun itu melakukan rompakan tersebut secara tiba-tiba.

"Kesemua suspek kemudian melarikan diri sejauh dua kilometer hingga ke Lebuh raya Pantai Timur (LPT).

"Polis percaya suspek menghubungi rakannya yang lain dan melarikan diri melalui lebuh raya dengan menaiki sebuah kenderaan," katanya.

Menurutnya, keempat-empat suspek yang diburu itu dikenali sebagai Dedek Febri Sukmarianto, 22; Muhyanto, 25; Jumadi, 20; dan Galeng, 38; dan semua mereka masuk ke negara ini secara sah.

Abdul Aziz berkata, polis kini melancarkan gerakan memburu semua suspek di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.

Abdul Aziz menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi hotline IPD Temerloh 09-2964999 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat Inspektor Wan Khairul Azuan 019-7276674. - Bernama

Bapa dipotong kemaluan masih di ICU



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2013
 K Manoharan
K Manoharan
KUALA TERENGGANU - Mangsa ketaksuban ajaran sesat oleh anak sendiri yang dipotong kemaluan, berkemungkinan tidak akan pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa berumur 67 tahun berkemungkinan berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan sampingan lain, kesan daripada kecederaan yang dialaminya.

“Mungkin disebabkan faktor usia, mangsa tidak dapat pulih seratus peratus, masalah kesihatannya mungkin akan terjejas selepas ini.

“Mangsa kini masih ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," katanya, semalam.

Menurutnya, walaupun keadaannya semakin stabil, namun mangsa masih memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Sementara itu, suspek berusia 40 tahun yang dilaporkan stabil kini difahamkan mengalami masalah tekanan emosi dan masih ditempatkan di wad biasa HSNZ.

“Suspek dilaporkan dalam keadaan emosi tidak stabil, dipercayai mengalami masalah gangguan mental dan jika keadaannya berlarutan, berkemungkinan dia akan menjalani pemeriksaan mental,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan gara-gara dipercayai terlalu taksub dengan ajaran sesat dipelajari melalui laman web, seorang anak tergamak memotong kemaluan bapanya yang juga seorang bilal masjid menggunakan sebilah pisau, kononnya untuk mengeluarkan semangat ‘Imam Nawawi’ di dalam badan.

Ekoran kejadian itu, mangsa dilaporkan kritikal walaupun kemaluannya berjaya disambung semula kerana mengalami pendarahan serius semasa kejadian dan faktor usia.

Pemandu teksi, penumpang maut kemalangan




30 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi dan penumpangnya seorang wanita Filipina maut selepas teksi itu bertembung dengan sebuah kereta berhampiran Stesen LRT Masjid Jamek di Jalan Tun Perak di sini pagi tadi.
  
Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor berkata nahas berlaku pada pukul 4.20 pagi apabila kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Jalan Raja Chulan menuju Dataran Merdeka terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan teksi tersebut.
  
"Pemandu teksi R.Sivaraman, 35, mati selepas tersepit di dalam teksinya manakala penumpangnya yang dikenali sebagai Mechelle Perona, 25, mati akibat tercampak keluar dari teksi," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Rusli berkata seorang lagi penumpang teksi iaitu warga Nigeria yang dikenali sebagai Jaeson, 34, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
  
Beliau berkata pemandu kereta tersebut seorang lelaki berumur 27 tahun dipercayai melarikan diri sejurus kemalangan namun identitinya telah dikenal pasti.  - Bernama

Padah mahu curi kabel



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
Padah mahu curi kabel
Mangsa ditemui dalam lubang. Foto: Ehsan Bomba dan Penyelamat Kajang.
KAJANG - Gara-gara mahu mencuri kabel, seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong gelungan kabel elektrik bawah tanah berhampiran kilang di Bukit Angkat, malam kelmarin.

Menurut sumber, mangsa melakukan kerja itu sendirian.

Mangsa berusia 38 tahun itu ditemui orang awam dalam lubang sedalam dua meter.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat  Kajang dikejar ke lokasi kejadian.

“Penutup lubang terbuka separuh dan mangsa berpakaian lengkap ketika ditemui," katanya.

Katanya, mayat  dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Juruteknik khalwat



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
Juruteknik khalwat
Penjawat awam wanita ini merayu supaya tidak diambil tindakan selepas dia bersama pasangannnya dicekup pegawai penguatkuasa PPADL, awal pagi semalam.
LEDANG - Seorang penjawat awam merayu supaya tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas dicekup berkhalwat bersama pasangannya di sebuah rumah di Tangkak, di sini, awal pagi semalam.

Wanita terbabit bertindak sedemikian kepada anggota dan pegawai penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) kerana bimbang ketua jabatannya mengetahui kejadian berkenaan.

“Tolong encik jangan ambil tindakan, teruk saya jika ketua tahu kejadian ini,” katanya.

Dalam serbuan itu, wanita terbabit bersama pasangannya berusia masing-masing 30 dan 33 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.10 pagi ketika berdua-dua dalam bilik di rumah rumah terbabit.

Juruteknik yang berasal dari Batu Pahat itu mendakwa teman lelakinya hanya datang singgah sebentar ke biliknya sebelum pulang ke kampung halaman.
Menurutnya, teman lelakinya itu menunggu ibunya memasukkan wang ke dalam akuan bank bagi tujuan pulang ke kampung di Batu Pahat.

Manakala, pasangannya yang juga bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang elektronik di Kuala Lumpur mengakui tiba di Tangkak, kelmarin, namun terpaksa tinggal sementara di rumah terbabit kerana tidak memiliki wang mencukupi untuk pulang  ke kampung.
Bagaimanapun, Sinar Harian diberitahu wanita terbabit yang baru menyewa bilik itu hampir sebulan lalu dilihat kerap membawa teman lelakinya datang ke bilik terbabit pada waktu malam.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, sepasukan anggota PPADL memeriksa bilik di rumah berkenaan berdasarkan aduan awam.

Katanya, wanita terbabit yang dipercayai penyewa  rumah berkenaan membuka pintu selepas anggota dan  pegawai penguatkuasaan  mengetuk pintu dan memberi salam.

“Penguatkuasa hanya menunggu kira-kira lima minit  sebelum wanita itu membuka pintu dan membenarkan  pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui seorang wanita memakai baju-T dan berseluar pendek bersama pasangannya juga memakai baju-T dengan berseluar pendek bersembunyi di belakang pintu,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Tangkak untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing.

“Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Gagal seludup daun ketum



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
PENGKALAN HULU – Seorang lelaki warga Thailand ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah 30 kilogram daun ketum bernilai RM3,600 dalam bonet sebuah kereta di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan ketika sedang melalui pemeriksaan sekatan jalan raya di Kilometer 4.5, Jalan Pengkalan Hulu–Betong berhampiran Kampung Ayer Panas.

Komander UPP Negeri, Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, permintaan yang tinggi dari negara jiran serta harga mahal menjadi tarikan utama penyeludupan ini.
Menurutnya, sebaik ditahan, penyelia bertugas, Koperal Prida Prak Khim terus meminta empat anggota memeriksa bahagian belakang kenderaan itu. 
“Suspek yang berasal dari Narathiwat itu membeli bekalan daun ketum di Alor Setar, Kedah dengan harga antara RM25 hingga RM50 sekilo dan dijual dengan harga pasaran berjumlah RM100 hingga RM120 sekilo.

“Daun-daun ini dibungkus dalam plastik dan diletakkan dalam plastik hitam dalam bonet dengan harapan pihak berkuasa tidak melakukan pemeriksaan pada waktu pagi,” katanya.

Menurutnya, suspek memasuki negara ini pada melalui Bukit Kayu Hitam pada 25 Mac lalu.
“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan penjara tidak lebih empat tahun atau denda RM10,000,” katanya.

Sanggup jamu kaki judi



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
31 Mac 2013
Sanggup jamu kaki judi
Sebahagian set komputer dirampas dalam serbuan pasukan D7, kelmarin.
SUNGAI SIPUT – Bukan hanya menawarkan wang tunai sebanyak RM10,000 tetapi, pengusaha pusat perjudian menyediakan nasi berlaukkan ikan sardin kepada kaki judi untuk tidak berganjak dari hadapan komputer.

Malah, salah sebuah premis yang diserbu turut menjadikan ia sebagai pusat permainan snuker bagi mengaburi aktiviti perjudian yang menjadi tumpuan golongan muda.

Dalam serbuan kira-kira jam 8 malam itu, polis berjaya menahan seramai 44 kaki judi termasuk empat lelaki Orang Asli di lima kedai sekitar Taman Jalong Baru di sini, kelmarin.

Pegawai Turus D7 Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Hin Heng berkata, lima penjaga premis berkenaan turut ditahan dan polis merampas sebanyak 146 set komputer dan peralatan berkaitan.

Menurutnya, operasi dijalankan oleh empat pegawai dan 15 anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Operasi selama dua jam itu hasil maklumat dan risikan berhubung kewujudan aktiviti judi internet di kelima-lima premis yang menjadi tumpuan penduduk setempat.

“Kita juga turut merampas wang tunai berjumlah RM2,683 yang dipercayai digunakan bagi tujuan berjudi. Selain menyediakan makanan, tempat disediakan agak mewah seperti VIP,” katanya.

Hin Heng berkata, kaki judi yang ditahan bukan sahaja menghabiskan wang simpanan tetapi sanggup menjual haiwan ternakan kepada ‘tauke’ kedai untuk meneruskan ketagihan berjudi.

“Mereka sanggup menjual ayam, itik dan kambing untuk ditukar kepada wang tunai dan meneruskan aktiviti berjudi bagi memenangi kereta, motosikal yang ditawarkan serta wang tunai RM35,000,” katanya.

Beliau mengesyaki kelima-lima premis merupakan pemilik sama berikutan modus operandi yang digunakan adalah sama iaitu menyediakan makanan.

“Kesemua barangan dan mereka yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pemantauan dan operasi secara berterusan bagi memastikan aktiviti haram yang kembali bergerak aktif itu dapat dibanteras sepenuhnya di negeri ini,” katanya.

Tanaman sawit musnah disodok



RAIHAM MOHD SANUSI
31 Mac 2013
Tanaman sawit musnah disodok
Ghazali bersama beberapa penduduk menunjukkan pokok kelapa sawit yang musnah.
KEMAMAN – Seramai 30 penduduk Kampung Perasing Jaya, Jabor, di sini, yang meneroka dan mengusahakan tanah milik kerajaan sejak lebih setahun lalu kesal dan dukacita dengan tindakan pihak berkuasa yang bertindak menyita tanah serta merosakkan kira-kira 20 hektar tanaman sawit mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perasing Jaya, Ghazali Ismail berkata, mereka mengambil keputusan mengusahakan tanah itu atas nama JKKK dengan modal lebih RM100,000.

“Setiap penduduk terpilih diberikan 0.8 hektar tanah seorang untuk diusahakan dan kami berpakat menanam pokok kelapa sawit dengan bantuan seorang kontraktor, sementara hasil yang akan diperoleh akan dipotong sebagai bayaran balik.

“Malangnya selepas lebih setahun dan hampir memperoleh hasil, kami menerima notis daripada Pejabat Tanah Kemaman lebih seminggu lalu supaya mengosongkan tanah ini,” katanya.

Lebih malang, empat hari lalu (27 Mac) mereka dikejutkan dengan kehadiran pegawai dan  kakitangan pejabat tanah bersama empat jentera berat yang menolak tanah di situ bersama pokok kelapa sawit, menyebabkan mereka kerugian lebih RM100,000.

Ghazali berkata, tidak cukup dengan itu, jalan masuk ke kawasan kebun sawit tersebut turut digali dan mereka dihalang masuk yang mana sebatang kayu balak diletak merentangi laluan dan diletakkan papan tanda dilarang menceroboh tanah kerajaan.

Katanya yang juga Ketua Umno Cawangan Umno Kampung Perasing Jaya, dia amat terkilan dengan kejadian itu kerana sepanjang kira-kira 30 tahun berkhidmat untuk kerajaan, dia tidak pernah meminta apa-apa atau diberikan walau sebidang tanah sama ada bagi tujuan penempatan mahupun pertanian.

“Kami turut menemui pihak yang berkenaan tetapi tetapi tidak dilayan dan semuanya menemui jalan buntu.

“Tujuan tanah ini diusahakan untuk bantu penduduk yang susah. Saya sebagai Pengerusi JKKK sangat sedih kerana tanah kami disodok dalam keadaan pilihan raya semakin hampir sekarang, sedangkan tanaman sawit bersebelahan seluas 3.2 hektar yang diusahakan masyarakat Cina serta tanaman sawit penyokong pembangkang yang berdekatan kilang papan kampung ini yang turut diusahakan atas tanah kerajaan tidak diambil tindakan pula,” katanya.
Dakwa Ghazali, akibat kejadian itu, JKKK turut ditempelak oleh pembangkang  yang mengatakan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membela nasib ahli mereka.

Sementara itu, Pegawai Daerah merangkap Pentadbir Tanah Kemaman, Mohamad Kamil Othman berkata, tindakan berkenaan diambil pihaknya kerana perbuatan meneroka tanah kerajaan itu menyalahi Kanun Tanah Negara.

Malah, menurutnya, selepas ini jawatankuasa tanah Pejabat Tanah Daerah Kemaman bersetuju untuk mengambil tindakan sama di beberapa tempat lagi dengan mengambil pendekatan meracun pokok kelapa sawit yang berumur antara lima dan enam tahun bagi menyelesaikan masalah pencerobohan tanah kerajaan.
“Kita bukan mahu berlaku zalim mahupun menganiaya tetapi negara ada undang-undang dan tindakan ini dibuat untuk menjaga khazanah negara. Masalah (pencerobohan) ini tidak boleh dibiarkan walaupun orang yang menceroboh itu ada pengaruh, ada keupayaan dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya mengesan banyak lagi tanah kerajaan diteroka secara haram iaitu melibatkan tanah seluas 40,000 hingga 50,000 hektar di Dun Kijal dan beberapa tempat lagi di Dun Air Putih yang mana tindakan sama akan diambil secara berperingkat.

Mengulas mengenai rungutan penduduk yang beranggapan tindakan itu tidak sesuai dibuat waktu pilihan raya umum kian hampir kini, Mohamad Kamil berkata, tindakan itu tidak sewajarnya dikaitkan dengan pilihan raya kerana apa yang dibuat mengikut dasar kerajaan.

Warga emas antara 5 ditahan berjudi



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
TUMPAT – Lima lelaki, termasuk seorang warga emas, ditahan ketika leka berjudi di sebuah rumah di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Shariffudin Yusof berkata, semua suspek berusia antara 35 dan 64 tahun, ditahan dalam serbuan Ops Dadu pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, seorang suspek cedera di hidung, apabila berlaku pergelutan ketika cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, kelima-lima suspek dibawa ke balai polis.

“Polis menemui daun terup dan RM197 dipercayai wang pertaruhan,” katanya.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pusat hiburan diserbu, GRO dicekup



M JEFFRI RAZALI
31 Mac 2013
GRO
Antara GRO warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen, malam kelmarin.
AYER KEROH - Baru saja hari pertama bekerja sebagai GRO, seorang wanita dirundung malang apabila pusat hiburan tempat dia bertugas diserbu penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, malam kelmarin.

Ketika serbuan, wanita warga Vietnam itu baru sehari tiba di negara ini, leka berkaraoke dengan beberapa lelaki di pusat hiburan di Taman Merdeka Permai, dekat sini.

Dia  antara 21 GRO warga Vietnam yang ditahan dalam operasi dua jam di premis berkenaan membabitkan 13 pegawai penguatkuasa jabatan dan dua pegawai operasi dan unit risikan.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, risikan di premis itu dijalankan seminggu sebelum serbuan dilakukan atas maklumat awam.

Menurutnya, ketika serbuan, 21 wanita Vietnam berusia 17 dan 32 tahun itu leka melayan pelanggan dalam 18 bilik karaoke.

“Tiga lelaki rakyat tempatan dipercayai majikan serta ‘penjaga’ kepada warga asing itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada media di ibu pejabat Jabatan Imigresen negeri, di sini semalam.

Kamalludin berkata, ini serbuan kedua di pusat karaoke berkenaan apabila operasi serupa tiga bulan lalu turut membawa kepada penahanan lapan GRO Vietnam.

Suspek curi motosikal kritikal



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
KULIM - Cubaan seorang lelaki berusia 24 tahun untuk mencuri motosikal jenis Yamaha 135Z di tempat letak motosikal di kawasan perindustrian di sini gagal apabila ditahan orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, suspek dikatakan keluar dari sebuah kedai dan menghampiri sebuah motosikal di kawasan itu.

Suspek kemudian mengeluarkan kekunci alen iaitu sebuah alat besi berbentuk T untuk menghidupkan enjin motosikal mangsa.

Menyedari perbuatannyadiperhatikan orang awam yang berada di tempat kejadian, suspek mengambil tindakan melarikan diri
bagaimanapun, orang awam berada di situ mengejar cuba mengejar lelaki berkenaan.

Suspek bertindak mencampakkan kekunci alen ke dalam semak sebelum dibelasah orang awam dan mengalami kecederaan di seluruh badan serta kepala.

Bagaimanapun,  suspek yang tidak bermaya itu dihantar ke unit kecemasan Hospital Kulim kira-kira jam 11.30 malam apabila pihak polis sampai ke tempat kejadian.

Hasil pemeriksaan mendapati, suspek berada dalam keadaan kritikal dan perlu menerima rawatan rapi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek akan disiasat dibawah seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya jangan mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana suspek jika menahan mereka.
"Orang ramai seharusnya menyerahkan suspek kepada polis dan tidak bertindak di luar batasan dan jika suspek membuat laporan polis, mereka dipukul atau dicederakan, polis akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka terlibat.

"Dalam kejadian petang kelmarin, doktor yang merawat suspek menyatakan keadaan suspek kritikal dan terpaksa dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan lanjut," katanya.

Kata beliau, jika keadaan suspek bertambah serius dan maut, polis akan menahan semua orang awam terlibat dan mereka akan disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Penternak maut kena tetak



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
Penternak maut kena tetak
Mayat mangsa ditemui 300 meter dari kabin tempat tinggalnya di kawasan Padang Ragut Geduk, semalam.
TAMPIN – Seorang penternak kambing dan lembu ditemui mati dalam keadaan terlentang dan terdapat kesan tetakan di bahagian kaki, kira-kira 300 meter dari kabin tempat tinggalnya di Padang Ragut Geduk, di sini, semalam.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Wai Yee Meng, 54, ditemui oleh salah seorang anak buahnya yang melakukan gerakan mencari selepas seorang pekerja penghantar makanan ternakan gagal menemui Yee Meng untuk mengambil bayaran.

Menurut sumber, anak buah mangsa dan pekerja berkenaan sudah mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku susulan seekor anjing yang diikat di kawasan kandang ternakan itu turut mati dikerat,  manakala keadaan pintu ke kawasan ladang ternakan berkenaan seolah-olah dilanggar dengan kenderaan berat.

“Kedua-duanya berusaha mencari mangsa dan akhirnya mereka terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan terdapat lampu suluh tidak jauh dari sisinya.

Mereka bergegas menghubungi rakan penternak yang lain bagi membantu menghubungi balai polis berdekatan.

“Mangsa sememangnya sudah lama tinggal di kawasan ladang berkenaan bagi menjaga ternakan kambing dan lembu yang
diusahakan sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian, di, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Sepasukan polis IPD Tampin dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinen (IPK) Negeri  bergegas ke lokasi bagi menyiasat kes berkenaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Remaja 19 tahun ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
Remaja 19 tahun ditahan
Alias (tengah) bersama anggotanya menahan suspek untuk siasatan lanjut.
KULIM - Hasil maklumat orang awam, Polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim diketuai Sarjan Alias Ali berjaya menahan seorang remaja berusia 19 tahun di Taman Kempas, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu,  polis  membuat rondaan mencegah jenayah sebelum ternampak suspek menunggang motosikal jenis Honda C70 dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, akibat takut dicekup suspek bertindak agresif dengan melempar tayar kereta ke arah kenderaan dinaiki polis.

"Polis kemudian memintas motosikal suspek yang cuba melarikan diri, bagaimanapun remaja berkenaan berjaya ditahan.

"Hasil semakan terhadap suspek mendapati remaja itu memiliki rekod jenayah lampau dan sudah menjalani hukuman penjara selama dua tahun kerana memiliki motosikal curi," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek pula, pihaknya menjumpai beberapa alat ganti motosikal dan tayar ganti kereta.

Jelasnya, suspek turut mengaku barang curi itu akan dijual kepada peniaga barangan lusuh.

"Suspek juga dipercayai terlibat mencuri beberapa alat ganti lain seperti kotak gear kereta di sebuah bengkel di jalan Air Merah.

"Remaja itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut” katanya.

‘Kelabu mata’ nampak duit



M FEISAL NORAWI
31 Mac 2013
‘Kelabu mata’ nampak duit
Abdul Aziz (kanan) bersama pegawai penyiasat Inspektor Wan Khairul memegang gambar keempat-empat suspek kejadian samun di Lanchang semalam.
‘Kelabu mata’ nampak duit
Dari kiri: Muhyanto dan Jumadi
‘Kelabu mata’ nampak duit
Dari kiri: Galeng dan Dedek Febri
TEMERLOH - Seorang kontraktor pekerja ladang yang sedang mengagihkan gaji kepada pekerjanya melalui detik cemas apabila dia dan ahli keluarganya disamun RM36,000 oleh empat pekerja Indonesia.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku jam 2 petang, Jumaat lalu apabila mangsa, 62, dan isteri, 60, serta anak lelakinya, 31, memandu ke ladang Felcra Jenalih, kira-kira 17 kilometer dari pekan Lanchang untuk membayar gaji pekerja.

Menurutnya, mangsa sebelum itu membawa RM50,000  dan mengagihkan RM14,000 kepada beberapa pekerjanya sekitar ladang di Lanchang, kemudian membawa RM36,000 untuk diagihkan kepada beberapa pekerja lain pula.

“Ketika mangsa sedang agihkan gaji kepada empat pekerja terbabit di sebuah rumah kongsi, keempat-empat mereka yang baru dua bulan bekerja bertindak menyerang mangsa sekeluarga dengan batang besi dan kayu.

“Mereka  juga  merampas beg sandang mengandungi RM36,000 daripada anak lelaki mangsa,” katanya pada sidang media semalam.

Abdul Aziz berkata,  kesemua suspek berkenaan tidak merancang untuk melakukan  samun  tetapi mereka ‘kelabu mata’  apabila melihat kontraktor terbabit  membawa sejumlah  wang  yang  banyak  di hadapan  mereka.

Beliau berkata, kontraktor terbabit yang mengalami  kecederaan di dahi itu menerima lima jahitan, manakala  isterinya patah tangan kanan akibat dipukul dengan  batang besi dan kayu  tetapi anak kontraktor itu hanya alami  lebam-lebam di badan berikutan kejadian berkenaan.

“Keempat-empat suspek kemudian  melarikan  diri dengan berjalan kaki  mengikut  laluan tikus sejauh dua kilometer hingga ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

“Polis percaya suspek yang terlibat menghubungi  rakannya  dan  melarikan diri melalui  lebuh raya dengan menaiki sebuah kenderaan lain,” katanya.
Abdul Aziz berkata,  polis  percaya  bahawa kesemua  suspek  berkenaan tidak merancang melakukan samun berikutan  pasport dan  pakaian  mereka ditinggalkan dalam  rumah  kongsi  tersebut.

Jeritan saksi jadi penyelamat



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
Jeritan saksi jadi penyelamat
Kedai menjual dan membaiki peralatan elektrik hangus dalam kebakaran.
TIKAM BATU - Sebuah kedai menjual dan membaiki peralatan elektrik hangus dalam kebakaran semasa kejadian dekat deretan rumah kedai dua tingkat di belakang sebuah stesen minyak di sini, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Bagaimanapun, api berjaya dikawal daripada merebak ke kedai bersebelahan berikutan bantuan pasukan penyelamat yang tiba dalam tempoh singkat memandangkan jarak lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu tidak sampai kira-kira satu kilometer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Razmi Abd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 7.56 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

Menurutnya, pihak bomba mengambil masa selama 11 minit untuk memadamkan api dan berjaya mengelakkan kebakaran terus merebak.

“Lima jentera dikejarkan ke lokasi dalam operasi memadamkan kebakaran melibatkan 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Sungai Petani dan pasukan sukarelawan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, suasana tenang selepas kerja-kerja operasi memadam kebakaran hampir selesai kembali hangat apabila orang ramai dikejutkan dengan insiden api kecil sebuah kedai lain di deretan sama dua jam kemudian.

Saksi kejadian berkata, orang ramai yang menyedari terdapat asap dari kedai yang terletak di hujung deretan itu menjerit memanggil pasukan bomba supaya memadamkan kebakaran di lokasi kedua.

“Tindakan pantas anggota bomba yang berlari ke lokasi kedua di hujung rumah kedai patut dipuji kerana mampu menyelamatkan keseluruhan kira-kira 20 buah deretan kedai daripada terus terbakar,” katanya.

Menurutnya, kejadian kedua ini dipercayai angkara pihak tertentu yang sengaja mencetuskan kekecohan.

“Nasib baik ia disedari, jika tidak habis semua kedai di sini musnah terbakar,” katanya.

Penduduk tangkap ular sawa sepanjang tiga meter



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
Penduduk tangkap ular sawa sepanjang tiga meter
Ular sawa sepanjang tiga meter itu berjaya ditangkap.
KUPANG - Seekor ular sawa batik sepanjang lebih tiga meter berjaya ditangkap penduduk Taman Anggerik, di sini yang kebetulan melihat haiwan pemangsa itu.

Ular itu ditemui menyusur di sebatang jalan di kawasan perumahan itu sebelum ditangkap penduduk yang mendapatkan bantuan orang ramai.
Penduduk, Nor Rahman Osman, 50, dari Kampung Charuk Bemban berkata, ular itu cuba melawan, tetapi berjaya ditangkap orang ramai.

Menurutnya, kehadiran ular sawa di kawasan taman itu kemungkinan untuk mencari makanan ataupun mencari pasangan.

“Bagaimanapun, kawasan taman itu hampir dengan kawasan kebun dan semak samun. Jadi, tidak mustahil haiwan ini berkeliaran di kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Rahman yang juga seorang penangkap ular turut mengingatkan agar tidak mencederakan haiwan yang berbahaya ini.

Jelasnya, ular sawa tidak begitu agresif berbanding ular yang berbisa, tetapi harus berjaga-jaga. "Walaupun ular sawa tidak mempunyai bisa, belitannya mampu mengancam keselamatan kita.

“Disebabkan itu, usaha menumpaskan haiwan ini perlu dilakukan oleh lebih dari seorang. Sekurang-kurangnya, rakan dapat membantu jika terjadi perkara tidak dingini,” katanya.

Katanya, ular itu akan dibuang ke dalam hutan ataupun diserahkan kepada pihak  bertanggungjawab.

Penduduk nekad gantung motosikal penyangak



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2013
curi motosikal
Pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan untuk melihat motosikal yang tergantung.
KUALA TERENGGANU - Pengguna di laluan utama Darat Batu Rakit menghala ke Tepoh di Kampung Wakaf Chagak, di sini,  gempar  apabila melihat sebuah motosikal yang digantung pada pokok kekabu, di sini.

Tidak cukup menggantung motosikal berkenaan, penduduk turut meletakkan satu nota pada  pokok  dengan mendakwa pemilik motosikal sebagai 'kaki pecah rumah, kaki curi motosikal, kaki curi lembu dan sebagainya'.

Motosikal  dipercayai milik penjenayah yang cuba memecah masuk sebuah rumah penduduk di sini, namun terpaksa membatalkan hasratnya apabila mengetahui tindakanya ketahui penduduk terus melarikan diri tanpa sempat mengambil motosikal  ditinggalkan tidak jauh dari  tempat kejadian.

Menurut seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Din, tujuan penduduk  menggantung motosikal  berkenaan adalah untuk memberi pengajaran kepada penjenayah terbabit, meskipun gagal menangkapnya.

“Penjenayah ini sememangnya diketahui sering terlibat dalam pelbagai kegiatan tidak bermoral di kampung, namun kerana tiada bukti kukuh, dia sering terlepas hukuman.

“Namun, kami ingin memastikan dia (penjenayah) sedar bahawa segala tindakan dan kelakuannya sering menjadi perhatian dan kami akan memastikan dia akan menerima hukuman yang setimpal nanti,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sinar Harian turut difahamkan penjenayah terbabit yang juga penduduk di kampung berkenaan sering keluar masuk penjara  itu masih mengulangi kesalahan sama.

Tindakan  nekad penduduk yang menggantung motosikal pada sebatang pokok di jalan utama adalah untuk memberi peringatan kepada penjenayah yang lain bahawa penduduk sememangnya sentiasa bersatu hati bagi memerangi gejala tidak bermoral terutamanya kes pecah rumah yang sering berlaku di kampung berkenaan.