Search This Blog

Thursday, February 14, 2013

Wang nombor ekor RM1.2j dirompak



Klang: Sebuah van yang membawa hasil kutipan premis nombor ramalan dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol dalam satu kejadian di Jalan Kapar, di sini petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.30 itu, van berkenaan yang dinaiki empat pengawal keselamatan itu sedang memungut wang kutipan dari sebuah premis nombor ramalan di lokasi kejadian sebelum tiba-tiba seorang lelaki bersenjatakan pistol masuk ke dalam van berkenaan.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohd Shukur Sulong berkata, sebaik lelaki itu memasuki van, dua lagi rakannya turut masuk dan duduk di bahagian belakang van.

Katanya, mereka kemudian mengarahkan van itu dipandu ke satu tempat dan kira-kira 10 minit kemudian mereka berkenaan diarah berhenti.


“Tiga lelaki dalam van itu kemudian mengambil dua karung dan beberapa beg kecil mengandungi wang tunai berjumlah RM1.2 juta serta sepucuk pump gun sebelum mahu keluar dari van untuk melarikan diri.


“Bagaimanapun, tiba-tiba semua pintu van gagal dibuka kerana dipercayai dikawal menggunakan kunci sepusat. Kumpulan lelaki terbabit yang panik dengan situasi berkenaan kemudian memecahkan cermin depan van menggunakan tukul besi sebelum keluar melalui laluan itu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini malam tadi.

Katanya, pengawal keselamatan berkenaan yang menyedari semua lelaki terbabit sudah melarikan diri kemudian memandu van berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk membuat laporan.


“Semua lelaki terbabit melarikan diri menggunakan van jenis Nissan Venette berwarna kelabu,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment