Search This Blog

Thursday, February 7, 2013

Polis syak pembunuhan mangsa dirancang



MELAKA 5 Feb. - Polis tidak menolak kemungkinan kes seorang lelaki yang mati ditembak di persimpangan lampu isyarat Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini semalam, selepas baru selesai menghadiri perbicaraan kes samun di Mahkamah Sesyen di sini, telah dirancang.
Berikutan itu, polis menahan rakan kepada mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan P. R. Gunarajan berkata, lelaki berusia 28 tahun yang berada di dalam kereta dipandu mangsa ketika kejadian pukul 10.30 pagi itu, ditahan reman sehingga 11 Februari ini bermula semalam.
Beliau berkata, polis mengesyaki ‘sesuatu’ berikutan peniaga kedai runcit yang berasal dari Bidor, Perak itu tidak mengalami sebarang kecederaan ketika kejadian.
“Daripada keterangannya, inilah kali pertama dia ke Melaka selepas diajak oleh mangsa untuk ditemani bagi menghadiri perbicaraan.
“Kita tahan lelaki itu untuk mendapatkan maklumat kerana hanya dia yang tahu bagaimana berlaku kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, S. Saravanan, 39, yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang mati ditembak dari jarak dekat, di sebelah kanan dan hadapan kereta Honda Accord miliknya oleh salah seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal Honda EX5.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang ditemani seorang rakan baru selesai menghadiri perbicaraan kes samun di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.
Gunarajan berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh oleh pembunuh upahan yang dipercayai mengekorinya dari mahkamah dan merancang membunuhnya di tempat tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya, mangsa pernah dipenjarakan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk bunuh, samun dan dadah antara 1999 hingga 2004.
Kata beliau, isteri mangsa, T. Vinsvari, 39, memaklumkan suaminya itu sepatutnya ke Melaka dengan menaiki bas, namun menukar fikiran untuk menaiki kereta dengan ditemani rakan.
Vinsvari ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka berkata, kali terakhir dia berbual dengan suaminya adalah pada pukul 8 pagi semalam sebelum suaminya bertolak ke mahkamah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130206/je_04/Polis-syak-pembunuhan-mangsa-dirancang#ixzz2K8Tr4J80
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment