Search This Blog

Thursday, February 7, 2013

Peragut nekad terjun laut elak diberkas polis



GEORGETOWN -  Akibat terlalu takut dicekup anggota polis, seorang daripada dua peragut mengambil tindakan drastik dengan terjun ke laut di pesisir Pantai Persiaran Gurney hari ini.

Tindakan kurang bijak suspek berusia 25 tahun itu bagaimanapun menyebabkan anggota dari Balai Polis Pulau Tikus serta Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri terpkasa menggunakan sebuah bot untuk membawanya naik ke darat kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Rakannya berusia 22 tahun ditahan terlebih dahulu berdekatan sebuah kafe di lokasi yang sama, tidak jauh dari lokasi rakannya terjun ke laut.

Difahamkan, kedua-duanya ditahan akibat meragut wang pemilik kedai runcit di Jalan Tanjung Tokong selepas membeli minuman keras dan kemudian melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, semasa melarikan diri, dua anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya berada berhampiran lokasi kejadian dan terus mengejar suspek.

Menurutnya, mangsa yang berusia 55 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi hanya kerugian RM30.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak bekerja manakala seorang mempunyai empat rekod jenayah lampau atas kesalahan kes dadah,” katanya ketika dihubungi.

Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut dan ujian air kencing masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment