Search This Blog

Thursday, February 14, 2013

Penyamun tertetak tangan sendiri



Kuala Lumpur: Senjata makan tuan, itu perumpamaan dapat digambarkan kepada seorang penyamun yang tertetak tangannya sendiri ketika bergelut dengan dua lelaki yang menjadi mangsa samunnya di Jalan Metro Pudu, di sini, kelmarin sebelum dia ditahan dan diserahkan kepada polis.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, dua lelaki bersenjatakan parang memecah masuk sebuah kafe siber di Jalan Metro Pudu, di sini, sebelum menyamun wang RM2,300 dan dua telefon bimbit milik seorang pelanggan dan pekerja premis itu.


Malah, sebaik mendapat hasil habuan, kedua-dua mereka melarikan diri ke arah bertentangan namun mangsa yang berang bertindak berani mengejar seorang daripada lelaki terbabit sebelum menahannya.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Wong, 28, berkata, dia yang bermain Internet terkejut apabila dua lelaki tidak dikenali mengacukan parang ke arahnya dan pekerja premis itu serta mengarahkan mereka tidak melawan.


Menurutnya, lelaki terbabit meminta mereka menyerahkan barangan berharga jika tidak mahu diapa-apakan menyebabkan dia akur dan memberi wang RM300 bersama telefon bimbit.


“Malah, lelaki itu turut mengarahkan pekerja premis itu membuka laci kaunter sebelum merampas RM2,000 dan telefon bimbit milik pekerja berkenaan.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan kami tidak sempat berbuat apa-apa namun nasib baik mereka tidak mencederakan kami. Sebaik merampas wang kami, kedua-dua lelaki itu melarikan diri,” katanya.


Wong berkata, dia yang berang dengan tindakan itu kemudian nekad mengejar seorang daripada mereka dengan motosikal sebelum melanggarnya menyebabkan lelaki itu terjatuh.

“Malah, ketika itu, pekerja terbabit yang turut mengejar seorang lagi lelaki tiba dan cuba menangkapnya namun lelaki berkenaan menyerang kami dengan parang hingga berlaku pergelutan.


“Pekerja terbabit juga berjaya merampas parang dipegang lelaki berkenaan menyebabkan dia naik angin dan cuba merampas semula. Dalam keadaan kelam-kabut itu, lelaki terbabit tertetak tangannya sendiri menyebabkannya menjerit kesakitan,” katanya.


Menurutnya, orang awam yang melalui kawasan itu datang membantu dan menangkap lelaki terbabit sebelum mereka menghubungi polis.

No comments:

Post a Comment