Mohamad Nasir Ramli
Mohamad Nasir Ramli
MUAR - Seorang pengedar dadah tidak sempat menjual bekalan tersebut kepada pelanggannya apabila dia dicekup sepasukan anggota Jabatan Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kerana didapati menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Jalan Abdullah, di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai tiga paket plastik lut sinar yang mengandungi serbuk putih dipercayai dadah yang disembunyikan dalam poket pakaiannya.

“Heroin seberat 3.78 gram (g), syabu (10.35g) dan ganja (2.68g) yang dijumpai ini dianggarkan bernilai RM1,500 tetapi nilainya dijangka boleh meningkat dua hingga tiga kali ganda apabila dijual kepada penagih.

“Kesemua dadah ini dipercayai boleh menampung bekalan kepada 35 penagih sekitar daerah ini dan daerah berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Bakri dan tidak mempunyai pekerjaan itu telah menjadikan kegiatan tersebut pekerjaan utamanya secara kecil-kecilan sejak setahun lalu.

Jelasnya, siasatan lanjut dilakukan ke atas suspek bagi mengenalpasti sumber  sebenar dia memperoleh bekalan bahan terlarang itu.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, menerusi operasi Jabatan Narkotik IPD Muar bermula 8 hingga 17 Februari lalu, di sekitar daerah ini telah berjaya menahan 28 penagih dadah.

Menurutnya, semua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun dan mereka  disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.