GEORGETOWN - Seorang lelaki parah selepas dibelasah dan ditetak sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Jalan Thean Teik, Air Itam, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa berusia 21 tahun dikatakan sedang menunggang motosikal dari arah Padang Tembak menghala ke arah Farlim sebelum diekori sekumpulan lelaki bermotosikal.

Difahamkan, kumpulan terdiri kira-kira 10 orang itu bertindak menahan mangsa di hadapan pagar sebuah rumah kebajikan anak yatim di sini dan terus memukul serta menetak mangsa dengan senjata tajam dipercayai parang.

Menurut sumber, selepas menyerang mangsa, kumpulan terbabit terus melarikan diri dan membiarkan mangsa terbaring berlumuran darah di hadapan rumah kebajikan berkenaan.

Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Difahamkan, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian belakang badan, perut dan tangan kanan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan setakat ini, pihaknya masih lagi menyiasat motif sebenar kejadian serta memburu semua suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau alat.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.