Search This Blog

Saturday, February 23, 2013

‘Ingatkan khayalan...’



Rembau: “Ketika memasak kuih putu untuk sarapan, tiba-tiba terpandang kelibat lelaki di pintu dapur. Pada mulanya saya tidak peduli kerana mungkin hanya khayalan, namun belum sempat menutup pintu, seorang lelaki bertopeng sambil memegang parang tiba-tiba meluru dan mengarahkan kami diam,” kata V Mageshwary, 53.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi kelmarin, mangsa bersama ibu, A Mariayi, 72, dan adik ipar, T Lada, 37, disamun tiga lelaki di rumah mereka di Kampung Simen, Lubok China, dekat sini.


Menurutnya, ketika kejadian, dia membuka pintu belakang memandangkan ibunya memetik bunga di belakang rumah.

“Sebaik ibu masuk, tiba-tiba seorang lelaki bertopeng mengekori ke dapur dan sambil mengacukan parang ke arah kami.


“Tidak lama kemudian masuk dua lagi lelaki dengan seorang bertopeng memegang pisau manakala seorang lagi tidak bersenjata serta tidak menutup muka, bertanya di mana kami menyembunyikan amah Indonesia.


“Saya beritahu tiada kerana tidak pernah mengambil amah menyebabkan mereka berang lalu mengikat tangan saya dan adik ipar menggunakan tali serta menutup mulut dengan kain.

“Mereka mengugut mencederakan kami jika ingkar arahan dan kami terpaksa diam manakala ibu yang uzur menangis kerana khuatir keselamatan kami sekeluarga. Tiga lelaki itu menggeledah barangan di bilik tingkat atas sebelum beredar dengan sebuah kereta.


“Selepas yakin mereka sudah tiada kami membuka ikatan dan meminta bantuan jiran menghubungi polis. Kami kerugian kira-kira RM8,000 apabila wang tunai dan barang kemas dilarikan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kota.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.

No comments:

Post a Comment