Search This Blog

Thursday, February 7, 2013

Dua rakan baik hilang




Gombak: Dua bapa merayu anak mereka pulang ke rumah dengan segera selepas menghilangkan diri sejak 31 Januari lalu bersama dua lagi rakannya.

Bapa berkenaan yang mahu dikenali sebagai Jamaluddian, 50-an berkata, anaknya, Nur Azizah, 16, keluar dari rumah ke sekolah bersama rakannya seperti biasa pada hari kejadian.


“Bagaimanapun, saya mula risau selepas Azizah itu tidak pulang ke rumah walaupun hari lewat petang,” malah saya juga gagal menghubungi telefon bimbitnya selepas talian dimatikan.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Selayang berhubung kehilangan Azizah namun sehingga kini, masih gagal dikesan. Saya merayu dia pulang ke rumah dan kami memaafkan kesilapannya,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di kediamannya di Batu Caves, semalam.


Menurutnya, dia berharap anaknya itu segera pulang ke rumah dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenal anaknya itu dapat menghubungi balai polis berhampiran.


Sementara itu, seorang lagi bapa remaja yang turut hilang, Zainudin Che Pa, 38, berkata, anaknya, Noor Nadilah Zainudin, 16, sememangnya berkawan rapat dengan Nur Azizah dan dia menyedari kehilangan anaknya pada hari yang sama ketika ingin menjemput anaknya itu pulang dari sekolah.

“Pada hari kejadian jam 1.30 tengah hari, saya yang menjemput anak di sekolah mula berasa pelik apabila anak saya itu tiada sedangkan dia lazimnya menunggu di hadapan pintu pagar.


“Saya berjumpa dengan pengurusan sekolah dan diberitahu Nadilah tidak datang ke sekolah tiga hari termasuk pada hari dia menghilangkan diri,” katanya.

Zainudin berkata, dia sendiri tidak tahu anaknya itu sebenarnya tidak ke sekolah selama tiga hari sedangkan setiap hari dia menghantar dan mengambil anaknya pulang dari sekolah.


“Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya namun gagal, malah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar merayu supaya dia pulang juga turut tidak dibalas.


“Anak saya yang menghidap talasemia juga sepatutnya menjalani pembedahan dalam masa terdekat, kehilangannya membimbangkan kami sekeluarga,” katanya.


Menurutnya, selain Azizah, dia juga diberitahu pengurusan sekolah, dua lagi rakan anaknya hilang dan tidak datang ke sekolah namun tidak mempunyai maklumat berhubung dua lagi remaja perempuan terbabit.


“Laporan polis dibuat dan berharap anak saya pulang dan mereka yang mempunyai maklumat berhubung anak saya diharapkan dapat menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan yang dibuat kedua-dua ahli keluarga terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan dan meminta mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan polis.

No comments:

Post a Comment