Ditetak di hadapan isteri
Gunasegara maut di tempat kejadian.
JOHOR BAHRU – Seorang peniaga diperlakukan dengan kejam apabila ditetak di badan dan muka oleh sekumpulan penjenayah di hadapan isterinya dalam kejadian di kedai makan di Kampung Baru Pandan di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira 11.15 malam kelmarin itu, mangsa P Gunasegaran, 60, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat serangan oleh empat lelaki bertopeng ketika sedang menikmati hidangan bersama keluarga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Dr Hashim Haron berkata, ketika kejadian, hanya ada seorang pelanggan lain di situ.

“Namun, sebaik pelanggan berkenaan beredar untuk ke tandas, empat suspek yang datang ke situ dengan menaiki sebuah kereta terus menyerbu dan menyerang mangsa dengan senjata tajam dipercayai parang.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa ditetak lebih enam kali di bahagian muka, badan dan kedua-dua tangannya. Akibat tetakan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan mati di tempat kejadian,” katanya.

Dr Hashim berkata, kesemua suspek melarikan diri sejurus melihat keadaan mangsa yang parah.

“Mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya.

“Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan meminta saksi atau orang ramai menghubungi balai berhampiran bagi membantu siasatan.