Berdepan hukuman gantung sampai mati
Marazki (kiri) diiringi polis ke lokap selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan memiliki heroin
KUANTAN- Dua lelaki disyaki pengedar dadah berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan  mengedar dadah jenis heroin di sini.

Kedua-dua tertuduh, Norisan Ab Rahman, 31 dari Felda Ulu Jempol, Bandar Jengka dan Marazki Mohammad, 37 dari Sungai Isap Perdana di sini mengaku memahami pertuduhan dihadapi bagaimanapun tiada sebarang rekod pengakuan dicatatkan bagi kedua-dua kes yang disebutkan secara berasingan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norisan didakwa memiliki 435.35 gram (berat kasar) dadah disyaki heroin ketika berada di tempat letak kereta, Jalan Teluk Cempedak di sini kira-kira jam 2.40 pagi, 5 Januari lalu.

Manakala, Marazki yang bekerja sebagai nelayan didakwa memiliki dadah jenis sama seberat 82 gram ketika berada dalam sebuah rumah di Taman Datuk Rashid Salleh, Jalan Pintasan Kuantan di sini kira-kira jam 3.30 pagi 23 Januari.

Kedua-dua tertuduh didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman menakutkan, gantung sampai mati mandatori.

Kedua-dua kes yang disebutkan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah dan Majistret Rini Triany Mohamad Ali itu  akan disebut semula 1 dan 6 Mac depan untuk sebutan laporan kimia.

Kedua-dua tertuduh ditahan reman memandangkan tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap mereka, semalam.