Anak majikan didakwa dera amah
Tertuduh menutup mukanya menggunakan tuala ketika keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam.
SUNGAI PETANI - Mahkamah Majistret Sungai Petani menetapkan 19 Mac depan sebagai sebutan semula kes membabitkan penderaan seorang pembantu rumah di sini, 23 November tahun lalu.

Tertuduh, seorang pekerja salun kecantikan, Khor Chia Lin, 30, dilihat menggunakan tuala bagi menutup mukanya dari dirakam wartawan ketika masuk dan keluar dari Mahkamah Majistret semalam.

Mengikut pertuduhan, Chia Lin didakwa mendatangkan kecederaan kepada pembantu rumah bernama Suryani, 25, dengan menggunakan sebatang kayu mop.

Perbuatan itu dilakukan pada 23 November 2012 jam lebih kurang 11 pagi di sebuah rumah dekat Taman Patani Indah, Sungai Petani.

Chia Lin yang juga merupakan anak kepada majikan pembantu rumah terbabit dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd Nasir di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili Peguam, Y K Loo.