Zamri Shamsuddin
Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU - Bengang pujukannya untuk berbaik semula dengan isteri ditolak mentah-mentah, seorang lelaki ‘naik hantu’ dengan mengugut akan mencederakan mangsa menggunakan sebilah pisau.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang pada Mei tahun lalu.

Bukan itu sahaja, suspek berusia 50 tahun dan bekerja sendiri itu turut mengancam akan membunuh mangsa selepas mengetahui keputusan nekad mangsa yang masih mahu meminta cerai.

Bagaimanapun, suspek yang berjaya menyembunyikan diri selama hampir 10 bulan selepas kejadian itu, akhirnya ditahan sepasukan polis di tepi jalan Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini, Ahad lalu.

Menurut sumber, sebelum ini iaitu pada 29 Mei tahun lalu, kira-kira jam 9.40 pagi, suspek telah ke rumah mangsa di Sungai Lembing, Kuantan, untuk menemui anak-anak mereka yang tinggal bersama mangsa.

“Semasa itu, suspek ada bertanyakan khabar dan pada masa sama memujuk mangsa untuk kembali semula kepadanya kerana difahamkan pasangan terbabit dalam proses penceraian.

“Namun, mangsa nekad dengan keputusannya menyebabkan suspek naik angin dan mengugut akan mencederakannya menggunakan sebilah pisau jika mangsa terus berdegil,” katanya, semalam.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, suspek turut mengugut akan membunuh mangsa jika menolak ajakannya untuk ke sebuah hotel di bandar raya Kuantan bagi melepaskan ‘hajatnya’ sebagai seorang suami.

“Bimbang akan keselamatannya dan anak-anak kerana suspek melakukan ugutan itu di hadapan anak mereka, mangsa terpaksa akur dengan mengikutnya ke hotel dimaksudkan, sebelum berjaya melarikan diri ketika suspek sedang tidur pada keesokan harinya,” katanya.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Lembing, Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan, pada keesokan harinya iaitu kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan penahanan suspek.