Search This Blog

Thursday, February 28, 2013

Mayat ditemui rentung dalam kereta terbakar di Jelebu



ANGGOTA polis unit forensik mengangkat mayat seorang bekas jurutera, Chai Mew Chong, yang ditemui mati rentung dalam sebuah kereta di hadapan rumahnya di Taman Bukit Kempas, Kuala Klawang, Jelebu hari ini. - UTUSAN
SEREMBAN 28 Feb. - Polis menemui mayat seorang lelaki yang rentung dalam keretanya yang terbakar di hadapan rumahnya di Taman Bukit Kempas, Kuala Klawang, Jelebu hari ini.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Supritendan Setapa Yusof berkata kejadian itu disedari oleh jiran mangsa kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
"Jiran mangsa kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu setelah melihat kereta mangsa terbakar. Empat anggota bersama sebuah jentera telah bergegas ke tempat kejadian.
"Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, polis menemui satu mayat rentung di bahagian tempat duduk belakang. Mangsa dikenali sebagai Chai Mew Chong, berumur 59 tahun. Mangsa juga didapati tinggal seorang diri di rumahnya," katanya ketika dihubungi.
Setapa berkata hasil siasatan awal, polis mendapati kejadian tersebut tidak mempunyai unsur jenayah dan dikategorikan sebagai mati mengejut.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Shahrul Nizam Abd. Rahim berkata, pihaknya mengambil masa hampir 10 minit untuk memadamkan kebakaran.
Katanya, lapan anggota forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Seremban dan Jempol turut berada di tempat kejadian untuk menyiasat punca kebakaran. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130228/je_12/Mayat-ditemui-rentung-dalam-kereta-terbakar-di-Jelebu#ixzz2MD0SsDhG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

20 paus mati terdampar di sepanjang Selat Magellan



SANTIAGO 27 Feb. - Kira-kira 20 ikan paus Orca dilaporkan mati terdampar di sepanjang Selat Magellan, manakala 25 yang lain berjaya diselamatkan.
Menurut jurucakap Perkhidmatan Perikanan Kebangsaan Chile, Jorge Sierpa semalam, kumpulan nelayan dan pasukan maritim berusaha menyelamatkan kesemua ikan paus tersebut selepas ia terdampar di tepi pantai.
"Hanya 25 ekor Orca sahaja berjaya diselamatkan, manakala 20 yang lain mati akibat air surut.
"Kesemua ikan paus tersebut mungkin sedang memburu mangsa sehingga terperangkap di kawasan air cetek," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130227/lu_11/20-paus-mati-terdampar-di-sepanjang-Selat-Magellan#ixzz2MCzBPTB4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Samun guna pisau rambo



Samun guna pisau rambo
Lua May Yee melakonkan semula aksi bagaimana penyamun meletakkan pisau di leher neneknya, di Jertih, petang kelmarin.
BESUT - Tiga lelaki dengan dua daripadanya masing-masing bersenjatakan pisau rambo dan parang melarikan wang tunai dan barang kemas daripada seorang guru wanita dan neneknya dalam kejadian samun di sebuah kedai elektrik di Jalan Besar, bandar Jertih petang kelmarin.
  
Dalam kejadian pada jam 6.20 petang itu, tiga lelaki berusia 30-an masuk kedainya dengan berpura-pura ingin membeli kabel jentera berat.
  
Guru wanita itu, Lua May Yee, 29, berkata,  ketiga-tiga lelaki tersebut masuk ke kedainya kononnya ingin membeli kabel jengkaut.
  
Menurutnya, ketika kejadian hanya dia dan neneknya, Ng Yook Sim, 73, berada di dalam kedai milik bapanya itu.
  
“Kesemua suspek masuk ke dalam kedai hanya sejurus selepas ayah saya keluar daripada  kedai untuk pergi mengambil adik saya yang bekerja di Jalan Pasir Akar,” katanya.
  
May Yee berkata, dia yang pada mulanya tidak menyangka niat jahat suspek memberitahu tidak ada menjual barangan tersebut.
  
Menurutnya, beberapa minit kemudian salah seorang suspek tiba-tiba mengacukan  pisau rambo ke arah leher neneknya dan mengarahkan dia dan neneknya diam.
  
Katanya, ketika itu dua rakan suspek keluar daripada kedai dengan seorang daripada mereka menunggu di kereta manakala seorang lagi keluar mengambil parang sebelum masuk semula dan mengacu  ke lehernya.
  
“Mereka yang tidak bertopeng minta menyerahkan wang dan suspek turut merampas dua utas gelang emas saya dan nenek saya serta sebentuk cincin pada jari saya.
  
“Kami bersyukur kerana tidak dicederakan namun pergelangan tangan nenek saya  mengalami sedikit lebam,” katanya yang terpaksa menyerahkan tunai RM1,000 dan nilai kerugian dianggarkan RM5,000.
  
Suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback merah tanpa nombor pendaftaran ke arah Kuala Terengganu.
  
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek.

Remaja dituduh miliki dadah



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013
Remaja dituduh miliki dadah
Anggota polis mengiringi remaja perempuan terbabit (tengah).
BALING - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan Mahkamah Majistret Baling atas kesalahan memiliki dadah jenis Heroin seberat 0.90 gram.

Dia berasal dari sebuah kampung di sini melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell Baling kira-kira jam 12.30 tengah malam, 18 Januari lalu.

Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akma Mohd Razi memohon mahkamah melanjutkan tempoh pertuduhan bagi menunggu laporan kimia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes dan pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta sama.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dikenakan Bon Jaminan Berkelakuan Baik (BJBB) selama setahun dengan seorang penjamin, selain membayar cagaran RM1,000 dan membayar kos pendakwaan RM2,000.

Mohamad Shazwan Afzal Mohd Rizuan dari Desa Keda Kemangi dijatuhi hukuman itu selepas melakukan kesalahan mengikut Sekyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333) kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan lampu isyarat biliion, batu 42, Baling antara jam 1.30 pagi hingga 3.30 pagi pada 1 Januari lalu.

Dia mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan Jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.

Tertuduh ditahan semasa Operasi Ambang Tahun Baru 2013 oleh Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.

Jurujual bersalah perdaya syarikat sekuriti saham



SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
28 Februari 2013
Cek tendang RM1 juta
Tertuduh keluar dari mahkamah, semalam.
AYER  KEROH - Seorang jurujual dibenarkan bon berkelakuan baik selama lapan tahun tanpa cagaran RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mengemukakan cek tendang bernilai hampir RM1 juta, 19 tahun lalu.

Arahan itu diputuskan Hakim Abu Bakar Katar terhadap tertuduh, Yap Nee Seng, 47, yang mengangguk faham dua pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Yap didakwa memperdaya OCBC Securities Sdn Bhd cawangan Melaka untuk mempercayai bahawa tiga keping cek Hong Kong and Shanghai Bank berjumlah RM575,930.43 adalah masih sah laku dan mendorong OCBC Securities menyerahkan sijil-sijil saham kepada tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya mangsa sama untuk mempercayai sekeping cek Hong Kong and Shanghai Bank berjumlah RM396,545.32 adalah masih sah laku dan mendorong mangsa menyerahkan sijil-sijil saham kepada tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan Nee Seng di OCBC Securities Sdn Bhd cawangan Melaka pada 30 Jun 1994 dan 2 Julai 1994.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu dan 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang diwakili peguam, Lim Tzea Yee ketika rayuan memohon supaya mahkamah memberikan hukuman bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah kerana anak guamnya yang sudah muflis sejak 16 tahun lalu menghidap kanser hati.

“Tertuduh yang mempunyai jangka hayat tiga tahun lagi seperti disahkan doktor telah dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah selepas kes ini dituduh pada tahun 1994 dan sejak itu dia tidak pernah melakukan kesalahan yang boleh direkodkan.

“Bagaikan jatuh ditimpa tangga, isterinya kemudian meminta cerai serta membawa anak-anak meninggalkannya dan kini pula mengidap kanser hati. Apa yang berlaku kepadanya boleh dianggap sebagai hukuman terhadap dirinya dalam tempoh 18 tahun,” katanya.

Pencuri obes jatuh longkang



AMRAN ALI
28 Februari 2013
Pencuri obes jatuh longkang
Abd Lah (tengah) menunjukkan kesan pecah masuk pada pintu rumahnya bersama Faizal (kanan) dan Roslan (kiri).
KLEBANG - Berat badan berlebihan menjadi punca seorang pencuri gagal melarikan diri daripada dikejar penduduk selepas memecah masuk sebuah rumah di Lorong Kampung Tengah, Klebang Besar, di sini semalam.

Lebih malang, pencuri berusia 45 tahun yang dianggarkan mempunyai berat badan lebih 100 kilogram itu bukan saja keletihan, malah terperosok dalam longkang dan tidak mampu menggerakkan badannya sebaik saja sudah jatuh.

Sebelum kejadian, pemilik rumah terbabit, Abd Lah Mohamad, 59, baru sahaja pulang kira-kira 10.45 pagi, selepas menghantar tiga anaknya ke sekolah dan mencari belangkas di kawasan Pantai Lereh.

Menurut Abd Lah, sebaik sampai di rumah, dia mendapati pintu hadapan dalam keadaan terbuka dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru diletakkan di halaman.

“Saya terus mengambil kunci motosikal itu, lalu secara tiba-tiba ternampak seorang lelaki terus keluar dari rumah menghala ke arah saya untuk mendapatkan motosikalnya.

“Saya terus menendang motosikal itu sehingga rebah, sebelum lelaki terbabit cuba lari. Pada masa sama, saya minta pertolongan abang dengan seorang anak saudara untuk mengejarnya,” katanya.

 Sementara itu, anak saudara Abd Lah, Faizal Roslan, 25, berkata, dia bersama bapanya, Roslan Mohamad, 66, mengejar dan berjaya mencekup pencuri terbabit setelah lelaki itu  tidak mampu lagi bergerak apabila termasuk ke dalam longkang.

“Mungkin disebabkan badannya yang terlalu gemuk dan berat badannya dirasakan melebihi 100 kilogram jadi dia sukar untuk melepasi longkang.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis selepas tubuh badannya yang penuh air longkang dibersihkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Selepas kejadian itu, mereka kemudian menghubungi Balai Polis Batang Tiga, di sini bagi mendapatkan bantuan.

Difahamkan, hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga bilik dalam rumah berkenaan berselerak, namun tiada barang dikenal pasti hilang dipercayai kerana pencuri terbabit tidak sempat mengambilnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

"Polis masih melakukan siasatan sama ada suspek mempunyai rekod lampau atau ada terbabit dengan mana-mana sindiket tertentu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah,” katanya.

Pemuda didakwa ugut pukul ibu



28 Februari 2013
Mohamad Amiruddin
Mohamad Amiruddin
KOTA BHARU – Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengugut untuk mencederakan ibunya dengan kayu, 24 Februari lalu.

Tuduhan terhadap lelaki berusia 21 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohamad Amiruddin Abdul Rahim dari Jalan Melor Gunong, Melor di sini didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengacukan kayu dan mengugut untuk memukul ibunya, Rosmawati Ismail, 49, di rumah mereka, pada jam 7.30 malam.

Pendakwaan terhadapnya dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Susulan itu, Majistret Ahmad Adha Amir Yassir Amri membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes bersambung 26 Mac depan.

Amah Indonesia didakwa dera anak majikan




28 Februari 2013
Enong Nur Sukma
Enong Nur Sukma, 41, (kiri), diiringi anggota polis, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bahru hari ini atas pertuduhan mendera anak majikannya yang berusia 15 bulan pada Sabtu l
KOTA BAHRU - Seorang amah warga Indonesia hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera anak majikannya yang berusia 15 bulan dalam satu kejadian Sabtu lalu.
Enong Nur Sukma, 41, yang berasal dari Bandung, Indonesia itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Qaseh Nur Alia Mohd Syazwan dengan cara menggoyangkan badan dan kepala serta melayan kanak-kanak perempuan itu dengan cara kekasaran yang boleh mencederakan mangsa.
Beliau didakwa melakukan penganiayaan itu di sebuah rumah di Lorong Haji Pak Noh, Jalan Bayam di sini pada pukul 10.30 malam, Sabtu lalu dan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Enong yang mengangguk faham atas pertuduhan itu dilihat sesekali mengalirkan air mata sepanjang prosiding itu berlangsung.
Hakim Mahkamah Sesyen Yusuf Yunus kemudiannya menetapkan 1 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan.
Bagaimanapun, Enong yang diwakili peguam Roshazlizawati Muhammad tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Intan Noor Hilwani Mat Rifin. - Bernama

Bekas kerani bank didakwa keluar wang Lisa Surihani




28 Februari 2013
lisa surihani
Lisa Surihani
KUANTAN - Seorang bekas kerani bank, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua pertuduhan mengeluarkan wang milik pelakon Lisa Surihani Mohamed dan ibunya berjumlah RM50,772.40 Januari lepas.

Shawallinah Jaffar, 31, dari Kudat, Sabah, didakwa mengeluarkan wang Lisa Surihani, 26, dan ibunya, Siti Amirah Ahmad, 62, dari akaun bersama mereka.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Tas, di Taman Pandan Damai, Kuantan antara 7 dan 10 Januari lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan sekeping kad mesin teller automatik (ATM) milik mangsa di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari dan tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama

Kera serang kanak-kanak



Kera serang kanak-kanak
Mohamad Shahrul Amin menerima tujuh jahitan di kepala, selain calar di belakang badan
HULU SELANGOR - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun terpaksa menerima tujuh jahitan di kepala selepas digigit kera yang menyerangnya di dalam rumah.

Mangsa, Mohamad Shahrul Amin Afandi turut mengalami kesan calar di beberapa bahagian belakang badan akibat serangan itu yang berlaku kira-kira jam 7.15 petang, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Melayu Rasa, Redzuan Mohd Isa berkata, kanak-kanak malang itu dikatakan sedang bermain dengan adik beradiknya yang lain di ruang tamu rumah sebelum didatangi seekor kera yang menyerangnya secara tiba-tiba.

“Kejadian itu hanya disedari bapanya setelah mendengar jeritan kanak-kanak tersebut.

“Melihat kecederaan di kepala dan belakang badan, kanak-kanak itu terus dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Redzuan berkata, kanak-kanak terbabit menerima tujuh jahitan di kepala dan dibenarkan pulang pada hari yang sama.

Katanya, kera yang menyerang mangsa tidak terlepas kerana dikurung di dalam rumah sementara menunggu pasukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kuala Kubu Bharu dan Jabatan Perhilitan tiba.

“Perhilitan bersama anggota JPAM berjaya menangkap kera berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, gangguan kera di kawasan perumahan itu semakin menjadi-jadi kerana pembiakannya tidak terkawal.

Bagaimanapun katanya, tindakan sewajarnya akan diambil pihak berkuasa bagi membendung kehadiran kera di kawasan tersebut, seterusnya mengelak kejadian sama berulang.

Remaja hamil lima bulan dicekup khalwat



Remaja hamil lima bulan dicekup khalwat
Anggota penguatkuasa menyoal siasat pasangan yang dicekup dalam operasi berkenaan.
AMPANG, Selangor - Seorang remaja perempuan yang mengandung lima bulan dan pasangannya ditahan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Penguatkuasa agama, mendapati lelaki berusia 20 tahun itu berseluar pendek tanpa baju, bersama pasangannya berusia 18 tahun memakai kemeja dan berseluar pendek ketika serbuan dijalankan di rumah sewa mereka di sebuah flat di sini, pada jam 1 pagi.

Pegawai Masjid Al- Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, lelaki terbabit membuka pintu bilik, manakala teman wanitanya sedang tidur ketika pemeriksaan dilakukan.

“Lelaki berkenaan memberi alasan akan bernikah dengan pasangannya itu dalam masa terdekat setelah keluarga remaja perempuan itu mengetahui anak mereka mengandung lima bulan,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu dipercayai saling mengenali sejak tahun lalu dan mereka turut menyewa rumah berkenaan bersama tiga lagi abang kepada remaja perempuan terbabit.

“Lelaki yang bekerja di sebuah gerai burger untuk sementara waktu itu dipercayai telah tinggal lebih sebulan dengan kekasihnya itu. Remaja perempuan itu pula tidak mempunyai pekerjaan dan dipercayai tidak bersekolah sejak tingkatan dua,” katanya.

Pasangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk dibuat laporan tangkapan.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 26, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan.

Pelajar tingkatan satu pulangkan wang tercicir RM37,500



Pelajar tingkatan satu pulangkan wang tercicir RM37,500
Amir Azizan (kanan) dan gurunya Mohd Taat menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya
Pelajar tingkatan satu pulangkan wang tercicir RM37,500
Amir Azizan menunjukkan S$10, nilai sama yang diberikan kepadanya oleh wanita yang tercicir S$15,000
BATU PAHAT – Seorang pelajar tingkatan satu sanggup mengayuh basikalnya sejauh 200 meter untuk mengejar sebuah kereta dipandu seorang wanita untuk memulangkan semula beg tangan mengandungi S$15,000 (RM37,500) yang tercicir.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Esa, Amir Azizan Hashim, 13, mengakui tindakannya itu didorong oleh pesanan ibu tersayang supaya memulangkan kembali setiap barang yang ditemui kepada pemiliknya.

Menurutnya, beg tangan itu terjatuh di tempat letak kereta di sebuah pasar raya setelah wanita terbabit meletakkan beg tangan berkenaan di atas bumbung kereta sebelum meninggalkan lokasi, dipercayai untuk pulang ke Singapura.

“Saya tetap ingat pesanan emak, jika terjumpa barang orang kena pulangkan, kalau boleh beri pada pemiliknya. Kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 10 pagi, awal Januari lalu. Ketika itu saya sedang membeli surat khabar berhampiran sebuah pasar raya yang terletak di Taman Soga.

“Saya menaiki basikal dari rumah yang terletak berhampiran pasar raya itu sebelum ternampak seorang wanita sedang menaiki kereta jenis Nissan berwarna hitam dan beg tangannya berada di atas bumbung kereta.

“Saya percaya wanita berusia lingkungan 30-an itu tidak menyedari beg tangannya berada di atas bumbung kereta sebelum dia terus menggerakkan kenderaannya dan berlalu dari situ,” katanya kepada Sinar Harian.

Amir berkata, sebaik beg tangan wanita itu terjatuh, dia segera bertindak mengambil beg tangan berkenaan dan terus memeriksa kandungannya seterusnya mendapati satu sampul surat mengandungi wang tunai Singapura, dokumen pengenalan diri dan seutas jam tangan.

“Ketika memeriksa beg berkenaan, saya mendapati terdapat satu sampul surat yang mengandungi wang tunai dollar Singapura selain pasport dan seutas jam tangan dipercayai milik wanita terbabit.

“Saya terus mengayuh basikal mengejar kereta berkenaan untuk memulangkan semula beg tangan miliknya. Alhamdulillah saya dapat mengejarnya ketika di simpang jalan seterusnya memulangkan kembali beg terbabit,” katanya.

Beliau berkata, terharu dengan keikhlasannya, wanita terbabit beberapa kali mengucapkan terima kasih dan menghulurkan sejumlah wang sebagai sagu hati kepadanya.

“Saya tidak menerima wang berkenaan kerana teringat pesanan daripada ibu dan ayah yang kerap kali menasihati saya untuk tidak menerima apa-apa pemberian daripada orang yang tidak dikenali. Wanita itu bertanya beberapa maklumat diri saya antaranya alamat sekolah sebelum dia berlalu pergi dan saya terus pulang ke rumah dan menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu dan ayah.

“Emak puji tindakan yang saya lakukan dan menasihati saya untuk meneruskan sikap sebegini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Dato’ Syed Esa, Mohd Taat Kasran berkata, sikap yang ditunjukkan pelajar sekolahnya yang bertindak jujur memulangkan semula wang dan beg tangan berkenaan sangat dipuji.

“Wanita terbabit menghubungi pihak sekolah beberapa hari selepas kejadian bagi memaklumkan berhubung keikhlasan Amir yang sanggup memulangkan wang miliknya sebanyak S$15,000 (RM37,500).

“Kami seluruh warga sekolah sangat berbangga dengan tindakan Amir yang diharap dicontohi pelajar lain bukan saja di sekolah ini, tetapi di sekolah lain di seluruh negara. Sebagai penghargaan, pihak sekolah beri sijil kepada Amir bagi menghargai tindakannya,” katanya.

Pengarah syarikat diberkas Imigresen



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pengarah sebuah syarikat yang dipercayai menjalankan urusan untuk mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah Program 6P secara tidak sah diberkas Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di sebuah pejabat di sini, petang kelmarin.

Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, syarikat itu dipercayai mengenakan bayaran kepada pendatang tanpa izin (Pati) dalam serbuan pada jam 5 petang itu.

“Hasil pemeriksaan dan risikan dua minggu juga mendapati syarikat berkenaan menjalankan aktiviti tersebut secara haram sedangkan Program 6P sudah tamat bulan April tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, 318 pasport antaranya Indonesia, Bangladesh, Filipina serta dokumen yang berkaitan dengan pelbagai urusan menguruskan PLKS dan urusan berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen.

“Kami akan mengenal pasti beberapa lagi cawangan syarikat berkenaan yang menjalankan aktiviti tersebut. Kami juga akan mengesan kesemua pemilik pasport berkenaan untuk membantu siasatan.”

“Kami menasihati orang ramai atau syarikat jangan terpengaruh dengan tawaran menjanjikan  untuk mendapatkan PLKS  atas  nama Program 6P,” katanya.

James berkata, orang ramai atau syarikat harus mengikut prosedur dengan cara permohonan kepada Bahagian Pengurusan Pekerja Asing KDN untuk khidmat pekerja asing.

Lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an itu dihantar ke Depoh Tahanan Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kompleks KDN Jalan Duta untuk tindakan lanjut.

Anak wartawan Sinar Harian cedera parah



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013
Anak wartawan Sinar Harian cedera parah
Proton Saga yang dinaiki Nor’Aida dan anaknya remuk dalam kemalangan, semalam.
SEREMBAN – Anak wartawan Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan cedera parah selepas terbabit kemalangan di Jalan Mambau – Rantau, berdekatan Kampung Kuala Sawah, Rantau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Mohammad Syafiq Aiman Khairulkheiza, 5, anak kepada wartawan Khairulkheiza Mohd Najib, 30, mengalami pendarahan serius di bahagian limpa akibat hentakan kuat pada dashboard kereta.

Menurut Khairulkheiza, ketika kejadian, isterinya, Nor’Aida Abu Samah, 28, memandu kereta Proton Saga itu dalam perjalanan ke Sekolah Rendah Dato’ Raja Melana, Rantau, di sini, dari rumahnya di Taman Nusari Bayu, Sendayan.

“Isteri dan anak saya dalam perjalanan ke sekolah selepas menghantar dua anak yang lain ke sebuah rumah asuhan kanak-kanak di Garden Homes, Seremban 2.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu isteri saya hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri jalan sebelum melanggar tebing bukit,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kemalangan tersebut tidak melibatkan sebarang kenderaan lain.

“Anak dan isteri saya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan lanjut.

“Namun, anak saya mengalami pendarahan serius di bahagian limpa dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Khairulkheiza berkata, isterinya yang juga guru J-Qaf sekolah berkenaan hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar.

Rasuah: Bekas eksekutif akaun Alcatel dipenjara dan didenda




28 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Bekas eksekutif akaun pelanggan Alcatel Network Systems (M) Sdn Bhd dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM125,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap
pertuduhan memberi suapan kepada Penolong Pengurus Perolehan, Telekom Malaysia Berhad.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan tersebut ke atas Radziah Ani, 51, mengikut Seksyen 10(a)(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Rozilah turut mengarahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM12,000 kepada RM15,000 dengan dua penjamin.

Beliau turut membenarkan tertuduh menjelaskan denda tersebut sehingga 8 Mac ini dan turut menetapkan hari yang sama sebagai tarikh sebutan.

Dalam penghakimannya, Rozilah berkata mahkamah mendapati pembelaan yang dikemukakan hanya bersifat penafian semata-mata, tidak konsisten dan tidak munasabah.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan itu.

Radziah didakwa memberikan suapan dalam bentuk cek milik syarikat telekomunikasi antarabangsa berkenaan kepada Mohd Asri Idris, 42, bagi mendapatkan tender, "for the supply of Widerband Code Division Multiple Access (WDCMA) Mobile Communication System and the Provision of Works  phase II".
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Hotel Shangri-La, Jalan SultanmIsmail antara 1 tengah hari hingga 2.30 petang pada 17 Feb 2006.

Pendakwaan dialkukan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulqarnain Hassan manakala peguam Datuk Seri Muhammad Shafee mewakili tertuduh. -Bernama

Pasar haram terbakar ragut 19 nyawa




28 Februari 2013
Pasar haram terbakar ragut 19 nyawa
Seramai 25 anggota pemadam kebakaran dikerah ke tempat kejadian. Ramai mangsa dilaporkan terperangkap dalam pasar hanya mempunyai satu pintu itu. Foto: AP
KOLKATA - Sekurang-kurangnya 19 terbunuh manakala 50 cedera dalam kebakaran di sebuah bangunan enam tingkat di kawasan pasar haram di Kolkata, awal pagi semalam.
Menurut pihak berkuasa, angka kematian dijangka meningkat kerana ramai mangsa dilaporkan masih terperangkap berikutan Pasar Surya Sen itu hanya mempunyai satu pintu keluar.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee yang melawat tempat kejadian berjanji beliau akan mengarahkan pihak berkuasa melakukan siasatan penuh untuk mengetahui punca kebakaran tersebut walaupun ia dikatakan berlaku akibat litar pintas.

Beliau turut mengumumkan pampasan berjumlah 200,000 rupee (RM11,530) diberikan kepada waris keluarga mangsa terkorban dan 50,000 rupee (RM2,900) kepada mereka yang cedera.

Sementara itu, Menteri Pengurusan Bencana, Javed Khan berkata, mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan kerana membina premis itu tanpa kebenaran dan tidak dilengkapi sistem keselamatan. - AFP

5 lelaki ditahan kes culik



 
Kuala Lumpur: Polis hingga kini sudah menahan lima lelaki berhubung kehilangan seorang ahli perniagaan, K Gobala Guru, 48, yang dipercayai diculik 2 Februari lalu.

Bagaimanapun, polis masih menjejaki dua lagi suspek berusia 20-an dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan polis berhubung kes itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata kelima-lima suspek berkenaan berusia antara lewat 20-an hingga awal 30-an ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Katanya, suspek pertama ditahan pada 3 Februari lalu di Kelana Jaya berikutan mangsa pernah membuat laporan ke atasnya pada tahun lalu atas kesalahan mengugut.

“Suspek kedua ditahan pada 16 Februari lalu di Jalan Tun Sambanthan untuk membantu siasatan namun dilepaskan selepas dijamin keluarganya, ..tangkapan terakhir dibuat Jumaat lalu. Seramai tiga orang direman hingga hari ini (semalam),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) semalam.

Dalam kejadian itu, K Gobala yang juga pemilik beberapa premis kelab hiburan di sekitar Lembah Klang dipercayai diculik sekumpulan empat lelaki menyamar sebagai anggota polis di tempat letak kereta di Jalan Maharajalela.

Kejadian kira-kira 7.30 malam itu, Gobala diarahkan masuk ke kereta Naza Citra sebelum kereta BMW milik mangsa ditemui terbakar di Hulu Yam, keesokan harinya.
Chin Wah berkata, pihaknya tidak boleh membuat spekulasi mengenai penculikan itu berikutan masih tidak menemui mangsa.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan individu dijejaki diminta menghubungi bilik gerakan JSJ D9 IPKKL di talian 03-21460685 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Hakim benar pakar periksa mental amah



 
Kuala Lumpur: Bekas majikan Nirmala Bonat dibenarkan Mahkamah Tinggi semalam, untuk melantik pakar bagi memeriksa keadaan mental dan fizikal pembantu rumah warga Indonesia itu.

Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid membenarkan permohonan Yim Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Ting yang diwakili peguam Chan Vy Sing bagi menentukan sama ada kecederaan ke atas Nirmala dilakukannya sendiri.
Selain itu, Khadijah turut memutuskan supaya Pek Ha yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah mencederakan Nirmala, hadir di mahkamah untuk memberikan keterangan dalam kes saman menuntut ganti rugi yang dikemukakan Nirmala.

Nirmala yang diwakili peguam M Kavimani memfailkan saman dan pernyataan tuntutannya pada 28 Januari 2010, berkata dia diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan itu, yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini, pada September 2003.

Ketika bekerja di rumah majikannya, Nirmala yang kini menetap di Kupang, Indonesia bersama seorang anak lelakinya berkata dia didera dan dicederakan beberapa kali oleh Pek Ha, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.

Sehubungan itu, Nirmala menuntut ganti rugi daripada kedua-dua defendan, antaranya ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya, ganti rugi khas melebihi RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbe-lanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Pek Ha didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen kerana mencederakan Nirmala dengan seterika panas dan air panas dan dikenakan hukuman penjara 18 tahun, tetapi hukuman itu dikurangkan kepada 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada peringkat rayuan yang kemudian dikekalkan Mahkamah Rayuan.

Pengsan selepas didapati bersalah terima rasuah



 
Johor Bahru: Bekas Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, K Kalaiselvi pengsan sejurus didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan menerima rasuah RM500, dua tahun lalu.

Kalaiselvi, 31, secara tiba-tiba jatuh pengsan menyebabkan mahkamah terpaksa menghentikan prosiding selama kira-kira 10 minit sebelum bersidang semula bagi menetapkan hukuman terhadap tertuduh.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz, memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan mulai semalam dengan denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda.

Mahkamah turut membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara tertuduh memfailkan rayuan terhadap kes itu tetapi memerintahkan denda dijelaskan.

Kalaiselvi dituduh sebagai ejen Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran secara rasuah menerima suapan wang tunai RM500 daripada Lim Chai Lee, di sebuah rumah tumpangan kira-kira jam 2.45 petang, 5 Ogos 2011 lalu.

Wang itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap premis perniagaan, Seven Eight Reflexology And Therapy, kerana tidak mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan mengikut Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kes Dirang: Mulut, hidung ditekup punca mati

Muidin dibawa ke Mahkamah Tinggi, Johor Bahru untuk dibicarakan, semalam. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Muidin dibawa ke Mahkamah Tinggi, Johor Bahru untuk dibicarakan, semalam. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin Johor Bahru: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu, mulut dan hidung Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang ditekup menyebabkannya mati sebelum mayatnya dibakar pembunuh.

Pakar Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah, Dr Mohamad Aznool Haidy Ashorori, berkata punca kematian itu diperoleh berdasarkan hasil siasatannya.
Katanya, beliau menemui kesan lebam pada bawah permukaan kulit terbakar di leher mangsa selain tiada kesan jelaga akibat kebakaran dalam salur pernafasan atau dalam tubuhnya.


“Bedah siasat pada 8 Mac 2012, forensik menemui kesan lebam terhasil akibat kecederaan disebabkan tekanan. Punca kematian bukanlah disebabkan kebakaran.

“Forensik juga tidak menolak kemungkinan mayat mangsa turut dibakar dengan tempoh singkat selepas pembunuhannya, berikutan penemuan telur dan kulat pada tubuhnya,” katanya ketika memberi keterangan perbicaraan kes bunuh buruh, Muidin Maidin, 26, di depan Hakim Datuk Abdul Halim Aman.

Muidin dituduh membunuh Dirang, 5, di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, di sini, antara jam 11.30 pagi, 1 Mac 2012 dan 12 pagi, 2 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar, Dr Mohamad Aznool memberitahu mahkamah, beliau turut melakukan ujian menggunakan kepala lembu yang dibakar dalam lubang di belakang HSA, meniru modus operandi dilakukan pembunuh Dirang.

“Kaedah itu dibuat kerana saya mendapati kehadiran lalat dan kulat ke tubuh mangsa agak lambat berikutan proses penurunan suhu akibat pembakaran itu berlaku dengan perlahan.

“Ia disebabkan kawasan mangsa dibunuh adalah dalam rumah yang agak redup kerana dilindungi bumbung.

“Hasilnya, saya dapati lalat dan kulat hanya hinggap pada tubuh mangsa selepas hari lima atau enam hari mayat mangsa dibakar, kerana lalat dan kulat tidak akan menghinggapi sebarang objek yang masih panas, seterusnya menghasilkan spora pada tubuh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati kematian mangsa berlaku pada 2 Mac 2012 atau sehari sebelumnya, berikutan beberapa spesimen yang diambil termasuk telur lalat dan bukti kehadiran kulat yang ditemui pada tubuh mangsa selepas itu.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Tentera Sri Lanka guna jenayah seksual dera suspek



 
Colombo: Pasukan keselamatan Sri Lanka berterusan menggunakan jenayah rogol dan bentuk keganasan seksual lain untuk mendera suspek pemberontak Tamil hampir empat tahun selepas berakhirnya perang saudara negara itu, dakwa sebuah kumpulan hak kelmarin.

Pemerhati Hak Asasi (HRW) yang beribu pejabat di New York mendakwa wujud secara meluas jenayah merogol tahanan ketika konflik pemisah yang berakhir pada Mei 2009, dan berkata keganasan seksual bermotifkan politik oleh tentera dan polis berterusan.
Laporan berkenaan, sempena sesi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, mengumpulkan 75 kes rogol dan penderaan seksual antara 2006 dan 2012 di pusat tahanan sah dan rahsia di Sri Lanka, kata HRW.

“Kebanyakan mangsa rogol bercakap kepada HRW di luar Sri Lanka, dan cerita mereka disokong dengan laporan perubatan dan perundangan. Semuanya menderita diseksa dan diberi layanan melampaui keganasan seksual,” menurut laporan itu.

Tentera Sri Lanka menolak dakwaan itu dan menyifatkan laporan berkenaan sebagai kreativiti spekulatif tetapi berkata ada lima kes dakwaan keganasan seksual dilakukan oleh tujuh askar antara 2007 dan Mei 2009, pada kemuncak peperangan.

Lima anggota tentera dipecat kerana melakukan keganasan seksual, kata tentera, sambil menambah laporan HRW sebagai ditokok tambah.

Dalam laporan setebal 141 muka surat bertajuk Kami Akan Mengajar Kamu, HRW berkata kebanyakan mangsa bercakap dengan mereka selepas meninggalkan negara itu dan selalunya merasuah pegawai untuk keluar. AFP

Kurang tidur jejas gen, punca masalah kesihatan


   
New York: Kurang tidur, walaupun cuma seminggu berpotensi memberikan kesan bahaya kepada gen, menurut kajian yang menunjukkan kaitan antara masalah tidur dan pelbagai masalah kesihatan.

Sebelum ini, ia sudah pun dikaitkan dengan masalah seperti penyakit jantung dan kecacatan kognitif serta obesiti.
Namun penyelidik tidur, Derk-Jan Dijk dan pasukan penyelidiknya, mengulas mengenai mekanisme molekul di belakang fenomena itu, melihat bagaimana kekurangan tidur membawa kepada masalah kesihatan.

Mereka mendapati tidur selama enam jam atau kurang selama seminggu pada waktu malam menjejaskan 711 gen, termasuk yang terbabit dalam keradangan, imuniti dan tindak balas tekanan.

Mereka juga mengalami kejanggalan dalam rentak circadian gen, berdepan penurunan mendadak bilangan gen sepanjang hari dan menjejaskan amplitud.

Menurut kajian pada 2010 oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, hampir satu pertiga pekerja di Amerika Syarikat, 40.6 juta, secara purata tidur enam jam atau kurang pada waktu malam.

Agensi

33 sekolah tutup



Kota Bharu: Jumlah sekolah yang ditutup akibat banjir di negeri ini meningkat kepada 33 sekolah hari ini, berbanding 24 sekolah, semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata, penutupan sekolah itu membabitkan 11,047 murid dan pelajar di Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Machang dan Pasir Puteh.


Katanya, selain masalah laluan ke sekolah ditenggelami banjir, ada juga sekolah ditutup kerana dinaiki air. “Sekolah ditutup di daerah Tanah Merah membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Panjang, SK Kulim, SK Ladang Kerila, SK Sokor, SK Tebing Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang Kerila dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Kuala Kajang.

“Di Pasir Mas pula, 13 sekolah ditutup iaitu SMK Rantau Panjang, SABK Diniah Bongor, SK Rahmat, SK Kok Pauh, SK Kampung Baru, SK Kubang Kuau, SK Baroh Pial, SK Lubok Stol, SK Rantau Panjang, SK Bukit Jarum, SK Khay Boon, SK Bakong, SMK Tiang Chandi, SK Gual Sitok, SK Gual Tok Deh, SK Sri Rantau Panjang, SABK Al-Farah Siram dan SK Sri Rantau Panjang,” katanya.


Menurutnya, sekolah yang ditutup di Tumpat hanya membabitkan satu sekolah iaitu SK Pulau Beluru manakala Kuala Krai empat sekolah iaitu SK Karangan, SK Pemberian, SK Pasir Kelang dan SK Kuala Nal.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/33sekolahtutup/Article/index_html#sthash.k6IwdlpH.dpuf

Besut paling terjejas



Kuala Terengganu: Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila 3,156 penduduk daripada 805 keluarga dipindahkan ke 42 pusat pemindahan di empat daerah di negeri ini sehingga jam 6 petang, semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, Besut mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi apabila 2,177 penduduk daripada 513 keluarga dipindahkan ke 26 pusat pemindahan.


“Setiu menduduki tempat kedua dengan 618 penduduk daripada 150 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan, diikuti Hulu Terengganu dengan 339 penduduk membabitkan 138 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan.

“Di Dungun pula, keadaan semakin baik apabila hanya satu pusat pemindahan di Dewan Kampung Pasir Raja masih dibuka menempatkan 22 penduduk daripada empat keluarga manakala di Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman tiada sebarang pemindahan,” katanya.


Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan hujan sementara diramal berlaku di beberapa daerah di Terengganu hari ini dari awal pagi hingga malam.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Besutpalingterjejas/Article/index_html#sthash.RGeFHCf5.dpuf

Buru sindiket jual bayi



Georgetown: Polis akan melancarkan Ops Pintas Sayang 3 dalam tempoh terdekat bagi membongkar dua lagi sindiket menjual bayi dan kanak-kanak selepas kejayaan melumpuhkan dua sindiket pada 24 Januari dan Khamis lalu sekali gus menyelamatkan 30 bayi dan kanak-kanak berusia antara sebulan hingga setahun.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berdasarkan maklumat diperolehi serta risikan, ada beberapa lagi bayi akan diselamatkan dalam tempoh terdekat selain polis giat melakukan perancangan rapi namun enggan menyatakan jumlah dan lokasi sebenar.


“Biarlah kami menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan apabila semuanya selesai, ia akan dimaklumkan nanti,” katanya ditemui pada Majlis Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Kontinjen negeri di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang, di sini, semalam.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Burusindiketjualbayi/Article/index_html#sthash.egZmk9rl.dpuf

Tinggal pesan selepas hilang



Puchong: “Kali terakhir Norazimah menghubungi suami ialah pada 13 Februari lalu melalui pesanan di laman sosial Facebook (FB) memberitahu dia sihat dan meminta keluarga tidak bimbangkan keselamatannya.

“Namun sebagai ibu, saya percaya bukan dia yang menghantar pesanan itu, apatah lagi dia langsung tidak pernah menghubungi saya sejak lari dari rumah pada 7 Januari lalu,” kata Norsheha Che Ros, 45, mengenangkan nasib anaknya, Norazimah Samsudin, 22, yang tidak pulang ke rumah.


Menurut Norsheha, pelbagai usaha sudah dibuat untuk mencari anak kedua daripada empat beradik itu, namun sehingga kini masih belum ada petunjuk.

Juruwang kedai runcit itu berkata, kali terakhir dia berbual dengan Norazimah yang mesra dengan panggilan Angah ialah pada jam 7 pagi 7 Mac lalu ketika mahu keluar bekerja.


“Hubungan kami tidak pernah ada masalah. Pada hari itu, Angah dan kawan perempuannya sepatutnya menghadiri temu duga kerja dan mereka dihantar ibu kawannya itu yang tinggal berhampiran rumah,” katanya yang meminta orang ramai memiliki maklumat menghubunginya di 017-2689616.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tinggalpesanselepashilang/Article/index_html#sthash.FVHlReWM.dpuf

TNB tubuh jawatankuasa khas siasat kejadian



Klang: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat punca sebenar kejadian renjatan elektrik yang meragut nyawa, Mohd Amirul Syafiq Halim, 15, petang semalam.

Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Mohd Azim Yusof berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan ke Suruhanjaya Tenaga untuk tindakan susulan dan pihaknya sudah menghantar beberapa pegawai ke lokasi kejadian untuk mengumpul maklumat.


“Kami bersimpati dengan apa yang menimpa mangsa serta keluarganya dan tidak mahu kejadian sama berlaku terhadap orang awam terutama kalangan pelajar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

“Dalam kes ini, kami akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian itu secara terperinci,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Mengulas kejadian itu, beliau berkata, kotak pembekal elektrik di lokasi kejadian rosak akibat perbuatan vandalisme.


Katanya, sebelum kejadian, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai keadaan kotak yang tidak bertutup itu.

“Kami tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai keadaan kerosakan pada kotak pembekal elektrik itu,” katanya.


Menurutnya, sekiranya laporan kerosakan diterima lebih awal, pihak TNB akan menghantar pegawai ke lokasi dan membaikinya dengan serta merta berdasarkan tahap kerosakan.

Katanya, beliau amat berharap orang awam bekerjasama dengan TNB bagi membantu pihaknya menjalankan pemantauan, pemeriksaan dan pembaikan setiap fasiliti yang disediakan TNB.


Sementara itu, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPS) mencadangkan Sekolah Kebangsaan Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Idris Shah memohon kepada pihak berkuasa tempatan untuk membina dua pondok bas di kedua-dua arah berhadapan sekolah itu.


Pengarahnya, Mahmud Karim berkata, ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang kerana kawasan itu menjadi tumpuan pelajar sekolah yang menunggu bas selepas tamat sesi persekolahan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TNBtubuhjawatankuasakhassiasatkejadian/Article/index_html#sthash.arF4oAh0.dpuf

Rosnah patah paha




Kuala Lumpur: Pelakon popular era 80-an, Rosnah Mohd Nor, 54, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 18 Februari lalu selepas tulang pada bahagian paha kanannya patah akibat komplikasi pelbagai penyakit, termasuk kanser.

Rosnah sebelum ini berhadapan pelbagai penyakit sejak beberapa tahun lalu dan pada 2010 menjalani pembedahan sejurus penyakit kanser itu semakin melarat.


Selain 2010, katanya, pada 2011 juga dia menjalani pemeriksaan sekali lagi dan difahamkan doktor, keadaan tulang pahanya sangat membimbangkan.

“Isnin lalu, saya mengalami kesakitan yang teramat sangat sehinggakan tidak dapat bergerak. Disebabkan itu, saya terpaksa menghubungi ambulans dan dibawa ke hospital jam 7 pagi,” katanya yang menetap di Taman Melati.


Menurut Rosnah, selepas menjalani proses imbasan, dia dimaklumkan wujud kesan patah pada bahagian paha kanan dan merebak sehingga ke pinggul.


“Khamis lalu, saya menjalani pembedahan dan dimasukkan besi di paha kanan. Bagaimanapun sehingga kini saya tidak boleh berjalan dan menunggu masa untuk sembuh.

“Buat masa ini saya tidak dibenarkan keluar wad dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak,” katanya.


Ditanya siapa menjaganya, Rosnah berkata, dia bersyukur kerana anak kedua dan ketiga, Wan Shamira Puteri Octavia, 22 dan Wan Shahera Puteri Apreena, 20, bergilir-gilir menjaganya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rosnahpatahpaha/Article/index_html#sthash.k400XLZC.dpuf

‘Sudah 4 kali pindah’



Setiu: Empat kali berpindah dalam masa empat bulan antara dugaan dihadapi 11 keluarga yang menjadi mangsa banjir di Kampung Nyatoh, di sini, apabila rumah mereka sekali lagi dinaiki air sejak petang kelmarin.

Penduduk, Wan Zaki Wan Omar, 38, berkata, pada November dan Disember tahun lalu, mereka berpindah tiga kali ke Surau Kampung Nyatoh yang menjadi pusat pemindahan buat 71 penduduk di kampung itu.


“Kami sekali lagi terpaksa berpindah petang semalam (kelmarin) apabila air naik mendadak.

“Selain hujan dan air hulu sungai mudik ke sini, pembinaan jalan yang tinggi dan tiada sistem perparitan sempurna menyebabkan air dari tempat lain bertakung di kawasan ini.


“Malah keadaan kali ini lebih teruk apabila air langsung tidak bergerak,” katanya ketika ditemui di surau berkenaan, semalam.


Suri rumah, Maiharian Sulong, 61, berkata, kebanyakan penduduk tidak berdepan masalah berada di Surau Kampung Nyatoh yang dijadikan pusat pemindahan walaupun agak sesak kerana saling mengenali dan membantu menyediakan makanan.

“Bantuan mencukupi dan pihak terbabit sentiasa memantau serta berhubung dengan kami dalam menyediakan keperluan.


“Cuma penduduk berdepan masalah apabila berkongsi dua tandas di surau ini untuk kegunaan harian.

“Kami harap kerajaan dapat menyediakan tambahan tandas dan bilik air di surau ini untuk kemudahan orang ramai terutama apabila dijadikan pusat pemindahan,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013022806094420130228060944/Article/index_html#sthash.QRGot5uJ.dpuf

Curi RM200,000, denda RM4,800



Kota Bharu: Seorang penganggur didenda RM4,800 di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan menceroboh rumah pengusaha kosmetik sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM200,000, Mei tahun lalu.

Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Sani Nafi, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Sani didakwa menceroboh rumah Hasni Muhammad, 41, di Kampung Pulau Belanga, Sering, di sini, antara jam 10 malam hingga 5.30 pagi, 13 Mei 2012.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bangun tidur pada jam 6.30 pagi menemui sebilah parang di hadapan pintu biliknya.

Dia membuat pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati wang RM11,000, barang kemas, 20 utas jam tangan pelbagai jenama, beg tangan dan tiga tabung wang dengan anggaran keseluruhan kerugian RM216,000.


Terdahulu, Mohd Sani yang tidak diwakili peguam memohon dijatuhi hukuman ringan dengan alasan dia insaf dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CuriRM200_000_dendaRM4_800/Article/index_html#sthash.W1LVXDJT.dpuf

Mati selepas buat kecoh




Kuala Lumpur: Seorang pengunjung sebuah pusat hiburan di Kompleks Wilayah, Jalan Munshi Abdullah, di sini ditemui maut akibat parah di kepala selepas terjatuh dari tempat letak kereta di tingkat tiga bangunan berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 38 tahun dan berasal dari Setapak, di sini, datang ke pusat hiburan berkenaan bersama tiga rakannya untuk berhibur.
Pada awalnya, mangsa dipercayai terjatuh akibat mabuk, namun siasatan polis mendapati sebelum kejadian berlaku mangsa dilihat bergaduh dengan beberapa orang pengawal atau ‘bounzer’ ekoran membuat kecoh di dalam pusat hiburan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa berkunjung ke pusat hiburan itu jam 1 pagi bersama rakannya dan semasa mereka berhibur, mangsa yang dipercayai mabuk bertindak agresif memaki hamun serta mencekak baju pelayan.


“Melihat kekecohan itu, beberapa bouncer bertindak meleraikannya dan mangsa dibawa keluar ke tempat letak kereta di tingkat tiga.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Matiselepasbuatkecoh/Article/index_html#sthash.2vPEJlDT.dpuf

Surat cinta berpalit noda




Kuantan: Gian menghidu seluar dalam dan coli wanita menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bertindak gila mencuri pakaian dalam berkenaan dari rumah sekumpulan pelajar perempuan di Kampung Selamat, di sini, sejak Januari lalu.

Perkara itu diakui sendiri remaja gila seks terbabit apabila turut mengirim sepucuk ‘surat cinta’ kepada pelajar perempuan berkenaan dengan menyatakan dia meminta maaf di atas perbuatan dilakukan dan memulangkan semula pakaian dalam dicurinya sebelum ini.
Dalam surat dikirim bersama segumpal pakaian yang dicuri itu, remaja lelaki terbabit tanpa segan silu memaklumkan dia berbuat demikian kerana terlalu gian menghidu pakaian dalam wanita.

Mangsa, Siti Syahirah Ali, 23, berkata, dia bersama tujuh rakannya yang lain menerima surat berkenaan bersama segumpal pakaian dalam itu yang dipercayai dilemparkan suspek di halaman rumah sewa mereka jam 1 pagi kelmarin.


Katanya, mereka berasa hairan dengan tindakan individu terbabit yang memulangkan pakaian dalam pernah dicuri itu.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suratcintaberpalitnoda/Article/index_html#sthash.DLXH3FYf.dpuf

Jambatan putus dua



Semanggol: “Kejadian itu tidak ubah seperti gempa bumi apabila jambatan di Batu 9 di sini, runtuh dan putus dua,” kata seorang pemandu bas, Rosli Asmawi, 50, yang nyaris menjadi mangsa sebaik melalui jambatan di Jalan Kerian ke Kamunting, petang semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, jambatan sepanjang lebih 30 meter itu, tiba-tiba runtuh ke dalam sungai sedalam lebih lima meter dipercayai akibat faktor usia.


Rosli berkata, dia berasa tidak sedap hati apabila bas dipandu terhuyung-hayang secara tiba-tiba ketika melalui jambatan itu.

Menurutnya, bas dipenuhi penumpang itu kemudian dipandu ke arah Kamunting sebelum berpatah semula ke laluan itu 20 minit kemudian.


“Namun, saya terkejut apabila mendapati jambatan itu sudah runtuh dan terputus dua dan ia sungguh memeranjatkan saya berikutan berlaku mendadak.


“Saya tidak tahu apa akan terjadi terhadap lebih 30 penumpang bas jika jambatan itu runtuh ketika saya sedang melaluinya,” katanya. Penduduk, Harun Jaafar, 50, mendakwa jambatan itu sudah usang berikutan dibina sekitar tahun 50-an.

Menurutnya, struktur tanah tidak kukuh menjadi penyebab jambatan runtuh.


“Selain struktur tanah dan jambatan yang usang, jambatan itu sering dilalui kenderaan berat terutama lori yang kerap berulang-alik ke Bukit Merah atau Kamunting.

“Penduduk terutama di Bukit Merah dan Semanggol kini terpaksa menggunakan laluan lain sejauh 15 kilometer untuk ke Kamunting, Selama dan Batu Kurau kerana tiada jalan alternatif lain,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Daerah Kerian Kamaruddin Awang berkata, satu jalan sementara akan dibina bagi membolehkan kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal melaluinya.


“Perkara ini sudah dipanjangkan kepada Majlis Daerah Kerian, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran daerah dan tindakan segera akan diambil membina semula jambatan,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jambatanputusdua/Article/index_html#sthash.sG7541Q6.dpuf

‘Tolong jangan tangkap saya’



Sik: “Tolong tuan, jangan tangkap saya. Ini semua wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ibu saya, bukan wang judi tuan,” demikian reaksi seorang lelaki lingkungan 20-an selepas sepasukan polis menyerbu lokasi ‘mini kasino’ berhampiran Kampung Chong, dekat sini, awal pagi semalam.

Sumber berkata, ketika diserbu kira-kira jam 9 malam, sepasukan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah diketuai Inspektor Mohd Nasrul Faiz mendapati 20 lelaki asyik membuat taruhan tanpa menyedari kegiatan mereka sedang dipantau.


Menurutnya, difahamkan, sekumpulan lelaki terbabit memilih lokasi ladang buah-buahan bertingkat itu berikutan ia dapat melindungi kegiatan mereka selain mudah untuk tahi judi mengesan kehadiran pihak berkuasa. “Pada mulanya, lelaki itu merayu kepada anggota polis supaya tidak menahannya kerana mendakwa membawa wang tunai RM150 selepas mengambil wang itu daripada JKM untuk bantuan ibunya yang sedang sakit.

“Pemerhatian yang dilakukan sebelum itu mendapati lelaki terbabit adalah antara 20 lelaki ‘tahi judi’ yang menjadi pelanggan setia di mini kasino itu,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Turus D7 IPK Kedah Asisten Superintendan Shaari Yaakob berkata, anggotanya menghadapi kesukaran melakukan serbuan di lokasi mini kasino terbabit kerana mempunyai empat ‘pos kawalan’ di sepanjang laluan sebelum tiba ke lokasi berkenaan.


Katanya, setiap pos kawalan itu dijaga oleh beberapa individu yang dilengkapi dengan ‘walkie-talkie’ bagi memaklumkan kepada setiap penjaga pos terbabit berhubung sebarang kenderaan yang masuk selain memaklumkan kepada penjaga mini kasino jika ada kenderaan yang mencurigakan melalui kawasan sekitar.

“Kami terpaksa masuk mengikut laluan alternatif memandangkan jalan berkenaan dijaga rapi oleh pengawal mini kasino itu. Selain itu, serbuan menghadapi kesukaran apabila kedudukan mini kasino itu terletak di bawah teres tanaman bertingkat.


“Ketika serbuan dilakukan di lokasi itu, ada antara tahi judi terbabit meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran walaupun kepungan sudah dilakukan di kawasan sekitar, namun sebahagian mereka berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013022806251020130228062510/Article/index_html#sthash.y7rBEQe3.dpuf

2 suspek culik diburu



Kuala Lumpur: Nasib seorang ahli perniagaan, K Gobala Guru, 48, yang dilaporkan hilang sejak 2 Februari lalu dipercayai diculik sekumpulan lelaki, masih belum diketahui dan polis sehingga kini sudah menahan lima suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, kelima-lima suspek berusia lewat 20-an hingga awal 30-an itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.


Menurutnya, suspek pertama ditahan di Kelana Jaya, sehari selepas mangsa dilaporkan hilang berikutan mangsa pernah membuat laporan ke atasnya pada tahun lalu kerana mengugut.

“Suspek kedua ditahan pada 16 Februari lalu di Jalan Tun Sambanthan, di sini untuk membantu siasatan, namun dilepaskan selepas dijamin, manakala tangkapan terakhir pula dibuat Jumaat lalu, seramai tiga orang ditahan dan mereka direman sehingga hari ini (semalam).


“Polis masih menjejaki dua lagi suspek berusia 20-an dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2suspekculikdiburu/Article/index_html#sthash.6eFAWUrJ.dpuf

Lori terbabas rempuh pagar balai polis

Kuala Lumpur: Sebuah lori yang sarat membawa muatan tar seberat 15 tan dikatakan mengalami masalah brek sebelum terbabas dan merempuh tembok pagar Balai Polis Sungai Besi, di sini, pagi semalam.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Kampung Malaysia Tambahan, di sini.

“Lori terbabit sedang menuruni jalan berbukit dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) sebelum terbabas dan merempuh tembok balai polis itu.
“Akibat rempuhan itu, lori berkenaan terbalik di tengah jalan dengan separuh badannya masuk ke dalam balai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Berikutan insiden itu, pemandu lori terbabit patah kaki kiri manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di persimpangan lampu isyarat berdekatan balai polis ditimbus limpahan tar yang tumpah dari lori itu.

“Bagaimanapun, pemandu dan penumpangnya yang dalam perjalanan melakukan kerja-kerja di Kem Sungai Besi, di sini, tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Foto
KEADAAN lori bawa muatan tar yang terbalik sebelum rempuh pagar Balai Polis Sungai Besi, semalam.
Katanya, selain kenderaan pacuan empat roda berkenaan, sebuah lagi kereta Proton Satria milik seorang anggota polis yang bertugas di balai polis berkenaan turut rosak terkena tayar lori yang tercabut selain muatan tar yang tertumpah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Loriterbabasrempuhpagarbalaipolis/Article/index_html#sthash.KjhHpA18.dpuf