Search This Blog

Tuesday, January 22, 2013

Warga emas cabul pelajar


KUANTAN- Seorang warga emas didenda RM4,000 selepas dia mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang gadis di kawasan Pantai Balok dekat sini, 9 Ogos tahun lalu.

Tertuduh yang dikenali mangsa sebagai Pak Loh, 61 dari Jalan Tun Ismail di sini turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Dia  bagaimana pun menjelaskan denda tersebut sebelum dibebaskan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dalam kes itu masih bergelar pelajar berusia 18 tahun dan mengenali tertuduh.

Mangsa yang beralamat di Lorong Kubang Buaya di sini bertemu dengan warga emas itu ketika menunggu keretanya yang dicuci di sebuah stesen minyak di Beserah.

Pelajar terbabit kemudiannya menumpang kereta lelaki tersebut untuk pulang ke sebuah pusat latihan memandu yang terletak di kawasan sama.

Ketika dalam perjalanan tertuduh tidak berhenti di pusat memandu itu  sebaliknya membawa mangsa ke kawasan Pantai Balok.

Selepas memberhentikan keretanya, tertuduh tiba-tiba  keluar dari kenderaan itu dan masuk semula ke bahagian penumpang belakang  dan terus mencabul kehormatan gadis tersebut.

Tertuduh kemudiannya menghantar mangsa ke Beserah, bagaimana pun  kejadian itu disedari ibu gadis itu setelah ternampak dia berlari masuk ke dalam  tandas sambil menangis.

Perbuatan tertuduh terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya sebelum satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

Susulan laporan tersebut, tertuduh berjaya ditahan polis kira-kira enam hari kemudian untuk siasatan lanjut.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Saifuldin Abdul Rahman dalam rayuannya sebelum itu merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan atas faktor usia.

Hukuman diputuskan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mohktar.

No comments:

Post a Comment