Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

Van keselamatan dirompak



 
Petaling Jaya: Seorang lelaki melarikan dua karung mengandungi wang tunai berjumlah kira-kira RM540,000 dari sebuah van keselamatan ketika empat kakitangan syarikat keselamatan sedang melakukan proses memindahkan wang ke sebuah bank di Kelana Jaya di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, suspek yang menunggang motosikal, dilaporkan menghampiri van berkenaan sebelum bertindak mengambil dua karung berisi wang dari bahagian belakang van tanpa disedari pemandu yang menunggu empat pengawal keselamatan memasukkan wang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata suspek sempat melarikan diri sebelum kejadian itu disedari dua pengawal yang berada di depan pintu bank.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes ini, selain mendapatkan kepastian kejadian itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di depan bank dan kawasan berhampiran.

“Kami menahan lima kakitangan syarikat keselamatan berkenaan termasuk penyelia yang menjalankan tugas memasukkan wang bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semua pengawal keselamatan itu termasuk pemandu van ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan jenayah curi.

Arjunaidi berkata, polis tidak menolak kemungkinan wujud pembabitan orang dalam syarikat keselamatan itu dalam kejadian berkenaan, tetapi enggan mengulas lanjut sehingga siasatan selesai.
Katanya, polis sedang mengenal pasti lelaki yang melarikan wang berkenaan yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Rakan Cop Polis Selangor di talian 03-20529999 atau datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment