Search This Blog

Thursday, January 17, 2013

TNB rugi RM18,000 dalam 6 hari



KOTA BHARU 16 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri mengalami kerugian RM18,000 selepas tembaga yang dipasang pada pencawang miliknya dicuri dalam tempoh enam hari bermula 6 hingga 12 Januari lalu.
Pengurus Besarnya, Datuk Zulkffli Ab. Rahman berkata, ini melibatkan enam pencawang di jajahan Pasir Mas yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Menurutnya, antara pencawang yang terlibat kecurian itu ialah di Kampung Bechah, Tal Tujuh, Fujilamp Kampung Kasa, Jambatan Tendong, Hutan Pasir dan Tepi Sungai Tendong.
"Pihak kami memandang serius perkara ini. Tindakan menceroboh dan mencuri tembaga ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah boleh membahayakan mereka yang mencurinya.
"Sebelum ini ada yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri bahan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program TNB Bersama Pelanggan di Ibu Pejabat TNB negeri di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Bahagian Pembahagian TNB, Ismail Mohd. Din.
Tambahnya, kecurian tersebut bukan sahaja menyebabkan berlakunya gangguan, tetapi dalam masa sama boleh merosakkan barangan elektrik akibat voltan berlebihan.
Dalam pada itu, Zulkffli memohon kerjasama orang ramai untuk menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat bagi membantu mengurangkan kejadian ini.
"Apabila wujudnya kerjasama ini akan memudahkan pihak kami membanteras gejala yang tidak sihat ini dengan melaporkan perkara tersebut kepada polis.
"Pemberi maklumat akan diberikan sedikit sagu hati sebagai tanda menghargai sumbangan yang diberikan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130117/wt_01/TNB-rugi-RM18000-dalam-6-hari#ixzz2IF7gvWia
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment