KUANTAN -  Akibat tayar belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya meletup, seorang pengurus ladang maut manakala dua anaknya parah selepas terlibat dalam nahas jalan raya dekat Maran semalam.

Abdul Basid Mohamed Yunus, 44, dari Permatang Badak di sini mati semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh jam 10.30 malam tadi akibat nahas yang berlaku di KM189 Lebuhraya Pantai Timur, petang semalam.

Dua anak mangsa yang cedera parah, Nurul Ain Shahirah, 11, dan adiknya, Muhammad Annuar Farhan, 8, kini dirawat di hospital yang sama.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 3.20 petang itu mangsa dan enam anaknya dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Maran.

"Di tempat kejadian, dipercayai tayar belakang sebelah kanan kenderaan itu tiba-tiba meletup menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang di tengah jalan sebelum terbalik," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Basid yang mengalami kecederaan parah di kepala kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia tujuh jam kemudian.

"Dua anak mangsa yang cedera parah itu masih dirawat di hospital yang sama manakala empat anggota keluarga yang lain tidak cedera," katanya. - Bernama