Sindiket pecah rumah tumpas
Mohd Mokhtar melihat antara barangan yang dirampas.
JOHOR BAHRU - Empat individu dipercayai  terlibat dalam sindiket pecah  rumah ditahan polis dalam satu  serbuan di sebuah  rumah di Jalan Penyiaran, Taman Universiti, 6 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya menahan dua lelaki, seorang wanita dan seorang warga asing berusia antara 26 hingga 47 tahun dalam serbuan jam 4.30 petang itu.

“Polis juga berjaya  merampas tiga komputer riba, empat telefon bimbit, alat  pengisar, alat pengimpal,  alat pembakar gas, pil eramin 5 dan dua paket kecil syabu.

“Kesemua suspek didapati positif dadah. Dua daripada empat suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan curi motosikal,” katanya pada sidang   media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang mem- peruntukkan hukuman  penjara sehingga 14 tahun berserta sebatan jika sabit kesalahan.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara,” katanya.

Selain itu, Mohd Mokhtar berkata, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari IPD Johor Bahru Selatan ketika sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan Jalan Wong Ah Fook, 24 Disember  tahun lalu.

“Semakan lanjut polis mendapati motosikal digunakan oleh lelaki yang ditahan pada jam 1.35 pagi ini adalah motosikal dilaporkan hilang pada 6 Oktober 2012 di kawasan pangsapuri Bukit Saujana, di sini.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek juga telah menjumpai satu paket kecil dipercayai dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata, suspek terbabit tidak memiliki  rekod jenayah lampau selepas semakan dibuat dan suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, 28 Disember lalu mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal, Seksyen 12(2) Akta Dadah
Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah dalam badan.