Search This Blog

Friday, January 4, 2013

Penjenayah tertinggal telefon




         
IPOH: Seorang penjenayah memecah masuk dua premis iaitu kedai pakaian kanak-kanak dan kedai kopi di Lorong 11, Taman Permata, di sini, semalam, sebelum melarikan beberapa pakaian termasuk botol minuman keras dan rokok dari kedua-dua premis berkenaan bernilai lebih RM3,000.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, identiti penjenayah terbabit bakal terbongkar berikutan dia tertinggal telefon bimbit di atas meja kopi premis berkenaan.


Pemilik kedai kopi dikenali sebagai Wong, 40-an, berkata, dia menemui telefon bimbit dipercayai ditinggalkan penjenayah yang memecah masuk kedainya.

Katanya, dia menyerahkan telefon bimbit itu kepada polis bagi membantu mengesan penjenayah terbabit.


“Saya menyedari kejadian itu selepas membuka kedai pagi tadi (semalam) sebelum mendapati beberapa botol minuman dan rokok hilang.


“Pemeriksaan mendapati, penjenayah masuk selepas mengumpil tingkap besi bilik air,” katanya.

Katanya, dia membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.


Wong berkata, kedai kopinya tidak dilengkapi alat penggera mahu pun kamera litar tertutup (CCTV) menyebabkan dia bimbang jika kejadian sama berulang pada masa depan.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Chan, 30-an, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan rakan niaga bahawa pintu jeriji dan pintu kaca kedai pakaiannya rosak akibat dipecah masuk penjenayah.


“Beberapa pakaian kanak-kanak berjenama berharga lebih RM1,000 lesap termasuk wang RM200 disimpan di dalam almari.


“Rakaman CCTV di kedai saya mengesan imej seorang lelaki yang keluar dari kedai kopi berkenaan sebelum melarikan diri dengan sebuah Perodua Kancil yang diletak di belakang premis,” katanya.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek.


Beliau berkata, pihaknya percaya perbuatan itu dilakukan lebih dari dua suspek.


“Kami akan meneliti rakaman CCTV yang dipasang di premis berkenaan termasuk pemilik daftar telefon bimbit milik salah seorang penjenayah yang ditemui dalam premis itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment