Pasangan kekasih berdepan tali gantung
Mohammad Noorfazli (kanan) dan pasangannya (tengah) dibawa ke penjara selepas dituduh, semalam.
KOTA BHARU – Sepasang kekasih berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar 400 gram dadah, bulan lalu.

Tuduhan terhadap pasangan itu dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Mohamad Noorfazli Mohamad Zulkeply, 24, dan Nor Fatima Md Yusman, 20, kedua-duanya dari Pasir Mas didakwa mengedar dadah jenis metamphetamine itu di sebuah bilik hotel di sini, pada jam 2 pagi, 28 Disember lalu.

Bagaimanapun, pada prosiding semalam, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Dalam perkembangan sama, mereka juga berdepan tuduhan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 memiliki enam gram dadah jenis nimetazepam pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Mereka boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan juga akan dikenakan sebat tidak kurang tiga dan tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad. Kes bersambung 28 April depan.