Search This Blog

Friday, January 4, 2013

Pam dadah dalam tandas




         
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura cuba melupuskan bukti dia mengedar dadah dengan mengepam sebahagian daripada dadah terbabit ke dalam mangkuk tandas di rumahnya di Taman Permas Jaya di sini, kelmarin selepas menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan jam 11 malam itu dilakukan hasil maklumat awam serta risikan.


“Kami merampas 1,268 butir pil Ecstasy dan 100 butir Eramin 5 serta beberapa peralatan menghasilkan pil itu.

“Selain itu, kami turut merampas serbuk Ecstasy seberat 544 gram (g) bernilai RM136,000 serta kafein seberat 139g bernilai RM100. Nilai keseluruhan dadah terbabit ialah RM202,100,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.


Menurut beliau, dalam serbuan itu, seorang lelaki warga Singapura berusia 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Mohd Mokhtar berkata, ketika serbuan, suspek mengepam sebahagian daripada pil itu ke dalam mangkuk tandas.


“Bagaimanapun, suspek tidak sempat melupuskan semua dadah terbabit, pil yang dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 5,000 penagih,” katanya.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan polis masih mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1) ADB 1952 serta Seksyen 32 ADB (Perlucuthakan Harta) 1988.

No comments:

Post a Comment