Nurul Nasha Alia
Jenazah Nurul Nasha Alia dibawa pulang ke kampung halaman keluarganya di Pulau Pinang.
GUNUNG SEMANGGOL - Sambutan hari lahir seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bertukar tragedi apabila ditemui lemas dalam kolam renang sebuah pangsapuri di Bukit Merah Lake Town Resort, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, mangsa, Nurul Nasha Alia Khalid bersama ahli keluarga lain difahamkan baru sahaja tiba di pangsapuri itu untuk bermalam setelah pulang bercuti selama dua hari di Cameron Highland, Pahang.

Menurutnya, polis difahamkan keluarga mangsa baru selesai urusan pendaftaran masuk pangsapuri tersebut dan ke bilik sebelum mangsa bersama abangnya, Mohd Firdaus Khalid, 10, dikatakan pergi ke kolam renang pangsapuri itu tanpa pengetahuan ahli keluarga.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikatakan mandi di kawasan kolam renang dewasa sebelum abangnya naik semula ke pangsapuri mereka untuk memaklumkan perbuatan mangsa.

“Seorang ahli keluarga lain segera keluar untuk melihat keadaan mangsa dan terkejut apabila mendapati mangsa dilihat terkapai-kapai di dalam kolam renang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mat Fauzi berkata, abang mangsa kemudiannya segera meluru ke kolam renang itu untuk menyelamatkan mangsa dan memberikan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, bantuan pernafasan yang diberikan abang mangsa dan pasukan paramedik yang tiba ke lokasi kejadian gagal memulihkan keadaan dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian jam 1.15 petang.

“Mayat kanak-kanak itu kemudiannya dibawa polis ke Hospital Parit Buntar sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan rumah mereka di Bandar Perda, Seberang Perai Tengah.

“Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya.

Berubah suka menyendiri

Sementara itu, abang kedua mangsa, Mohd Faizal berkata, semua ahli keluarga termasuk kedua ibu bapanya terkejut dengan kejadian itu, lebih-lebih lagi hari kejadian merupakan tarikh hari lahir mangsa.

Menurutnya, tujuan mereka sekeluarga singgah ke pangsapuri itu selepas pulang bercuti di Cameron Highland selama dua hari adalah tuk meraikan hari lahir mangsa yang sebelum ini meluahkan keinginan untuk mandi kolam.

“Arwah juga menunjukkan kelakuan pelik sejak beberapa hari sebelum ini apabila sering bersikap acuh tak acuh dengan ahli keluarga lain selain suka menyendiri.

“Kami sekeluarga tidak menyangka percutian kami kali ini merupakan saat terakhir kami bersama arwah. Kami sekeluarga bersedih dengan pemergian arwah, bagaimanapun kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Kolam ditutup sewaktu kejadian: Pengurusan Dalam pada itu, Pengurus Operasi Bukit Merah Laketown Resort, Baharin Baharudin berkata, kolam renang di pangsapuri itu sememangnya ditutup untuk kegunaan pelanggan sewaktu kejadian berlaku.

“Ketika kejadian berlaku, beberapa anggota penyelamat sedang melakukan kerja-kerja pembersihan bilik operasi sebelum mereka segera ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan ahli keluarga mangsa.

“Saya difahamkan mangsa sudah tidak bernyawa sewaktu diberikan bantuan pernafasan. Kami bersimpati dengan kejadian menimpa keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapinya,” katanya.