Search This Blog

Friday, January 11, 2013

Lepas gian di kawasan ternakan



JOHOR BAHRU - Tindakan polis menahan seorang penagih dadah membawa kepada petunjuk wujudnya kegiatan dan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan penternakan ayam di Lima Kedai, Gelang Patah.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya menahan lelaki terbabit yang turut memiliki dadah disyaki seberat satu gram di lokasi sekitar jam 3 petang, 8 Januari lalu.

Menurutnya, hasil soal siasat dijalankan, lelaki terbabit memberitahu wujudnya kegiatan dan aktiviti dadah di kawasan berkenaan.

“Semasa menghampiri kawasan tersebut, pihak polis terserempak dengan sebuah kereta jenis Pajero, tetapi kedua-dua suspek bersama kenderaan terbabit melarikan diri.

“Bagaimanapun, mereka berjaya dikejar dan ditahan oleh polis di kawasan Bandar Baru Uda, di sini. Kedua-dua suspek berasal dari Pulau Pinang yang berusia 34 dan 36 tahun,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, hasil daripada soal siasat dijalankan, pihaknya membuat pemeriksaan semula di kawasan terbabit seterusnya berjaya menemui dan merampas sebuah Pajero, dua pucuk pistol dipercayai tiruan bersama dua kelopak peluru, seunit gari serta dadah selain beberapa peralatan lain antaranya sehelai ‘vest’ Rela, satu unit walkie talkie, dua telefon bimbit yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM50,500.

No comments:

Post a Comment