Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

Lapan mayat ditemui dalam telaga



Sekurang-kurangnya lapan mayat dikeluarkan dari sebuah telaga di utara Mexico semalam, tidak jauh dari tempat 20 pemuzik dilaporkan hilang minggu lalu. Menurut sumber Agensi Siasatan Negeri Nuevo Leon, mereka masih meneruskan pemeriksaan telaga yang terletak di kawasan lapang di bandar Mina, Monterrey. “Jumlah mayat mungkin meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini sumber terbabit tidak dapat mengesahkan sama ada mayat berkenaan anggota kumpulan muzik Kombo Kolombia yang disedari kehilangan mereka Jumaat lalu.


Kumpulan muzik terbabit dilaporkan hilang selepas membuat persembahan tertutup di sebuah bar di bandar sebelah Mina, Hidalgo. Pihak berkuasa menjalankan gerakan mencari mereka selama dua hari sebelum menemui mayat dalam telaga berkenaan. Beberapa penduduk yang tinggal berhampiran bar tempat Kombo Kolombia mengadakan persembahan di Hidalgo mendakwa terdengar bunyi tembakan kira-kira jam 4 pagi, Sabtu lalu, diikuti bunyi kenderaan dipandu laju.

Sumber pihak berkuasa berkata, bunyi tembakan memang sering didengar di kawasan berkenaan dan penyiasat menemui sejumlah kelongsong peluru tidak jauh dari bar terbabit. Saudara-mara membuat aduan rasmi mengenai kehilangan anggota kumpulan Kombo Kolombia itu Sabtu lalu selepas gagal menghubungi mereka melalui telefon bimbit masing-masing. Beberapa waris pemuzik itu turut mengunjungi bar berkenaan dan mendapati kenderaan mereka masih ditinggalkan di situ. Sejak tiga tahun lalu, Kombo Kolombia memainkan muzik gaya Colombia dikenali sebagai vallenato yang popular di Nuevo Leon.

No comments:

Post a Comment