Search This Blog

Tuesday, January 22, 2013

Kejutan dua das tembakan


Kejutan dua das tembakan
Mangsa berada dalam keadaan stabil.
PARIT BUNTAR - Pertengkaran dalam keadaan mabuk menyebabkan seorang lelaki tempatan cedera parah akibat dua das tembakan yang dilepaskan oleh kenalannya sendiri dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Taman Wawasan, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 1 hingga 2 pagi dan mangsa, Lim Lip Hong, 31 dari Tanjung Piandang dikatakan pergi ke pusat hiburan terbabit untuk berjumpa suspek.

Kejutan dua das tembakan
Pusat hiburan di Taman Wawasan, Parit Buntar yang menjadi
lokasi berlakunya kejadian kes tembakan awal pagi semalam.
Menurutnya, berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa selepas kedua-duanya mabuk sehingga suspek bertindak menembak mangsa pada bahagian perut dan kaki dengan sepucuk pistol, sebelum melarikan diri dari premis berkenaan.

“Kejadian berkenaan telah mencetuskan suasana kecoh dalam pusat hiburan terbabit.

“Mangsa cedera parah akibat dua das tembakan itu dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan orang ramai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mat Fauzi memaklumkan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan untuk membuang peluru dari dalam badan.

Katanya, polis juga telah mengenal pasti suspek dan operasi memburunya kini sedang giat dilaksanakan.

“Suspek berusia lingkungan 30-an dan merupakan warga tempatan serta dipercayai masih berada dalam daerah Kerian. Suspek juga dipercayai mempunyai pertalian saudara dengan pemilik pusat hiburan terbabit.

“Kita masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh senjata api yang mana kita percaya ia telah dimiliki oleh suspek dalam satu tempoh masa tertentu,” jelasnya.

Beliau menggesa suspek tampil menyerah diri bagi membantu siasatan polis selain berharap keluarga dan kenalan suspek turut memberi kerjasama untuk menjejakinya.

Tambah beliau, polis tidak dapat mengenal pasti keadaan suspek semasa kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di talian 05-7215222 bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment