Search This Blog

Saturday, January 5, 2013

Insiden tembakan rambang ragut sembilan nyawa



MANILA 4 Jan. - Sekurang-kurangnya sembilan orang maut, termasuk seorang wanita mengandung dan dua kanak-kanak, manakala enam yang lain cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah pasar yang sesak di selatan Filipina, hari ini.
Kejadian itu bermula di sebuah pasar di bandar Kawit, kira-kira 40 kilometer ke selatan negara ini, menurut Ketua Polis Kawit, Jaime Rollon.
"Suspek yang merupakan seorang penagih dadah tiba-tiba bertindak ganas dan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai dan orang pertama yang cedera adalah ibu serta bapa mertuanya.
"Polis turut memeriksa beberapa buah hospital untuk memastikan jumlah mangsa terkorban," katanya.
Suspek dikenal pasti sebagai Ronald Bae yang berusia dalam lingkungan 30 tahun itu, bagaimanapun ditembak mati oleh polis di tempat kejadian selepas dia enggan menyerah diri.
"Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek selepas dia enggan menyerah diri dan cuba menyerang polis," jelas Rollon.
Kejadian tembakan terbaharu tersebut memburukkan lagi situasi di negara ini berhubung kelonggaran undang-undang memiliki senjata api.
Pada Isnin lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sini, maut selepas terkena peluru sesat yang dipercayai dilepaskan secara rambang ketika orang ramai meraikan malam sambutan Tahun Baharu 2013.
Berdasarkan data yang disediakan oleh Jabatan Senjata dan Letupan Polis, kira-kira 1.2 juta penduduk di negara ini mendaftarkan penggunaan senjata api pada tahun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130105/lu_05/Insiden-tembakan-rambang-ragut-sembilan-nyawa#ixzz2H6RZemEf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment