Dua ahli Geng Ah Kaw diburu
Chang Keong (kiri) menunjukkan parang yang digunakan suspek untuk menyamun mangsa serta pelbagai barangan dirampas ketika serbuan di sebuah rumah di Taman Menglembu Timur.
IPOH - Polis masih memburu dua lagi suspek samun bersenjata dan pecah rumah dipercayai Geng Ah Kaw selepas  menahan seorang ahli mereka dalam keadaan mencurigakan di Taman Menglembu di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika ditahan berlaku pergelutan menyebabkan dua suspek melepaskan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Putra dan menahan rakan mereka berusia 31 tahun.

Susulan penangkapan itu, polis menahan seorang wanita berusia 35 tahun juga isteri suspek yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Menglembu Timur.

Menurutnya, penahan dua suspek itu juga berjaya menyelesaikan satu kes samun di Simpang Pulai yang berlaku pada jam 4.30 pagi, kira-kira enam jam sebelum mereka ditahan.

“Mereka memasuki rumah wanita berusia 50 tahun terbabit dan melarikan beberapa barangan elektrik termasuk sebuah kereta Honda City milik mangsa bernilai lebih RM150,000.

“Geng ini didapati aktif sekitar bandar raya sejak beberapa bulan lalu dan menyasarkan mangsa yang memiliki kereta Honda City,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Chang Keong berkata, pasangan suami isteri itu kini ditahan reman sehingga Isnin depan dan mereka didapati positif dadah.

“Dalam kes ini, kita merampas pelbagai barangan elektrik termasuk komputer riba, sebuah televisyen, dua telefon bimbit, penyaman udara hasil kegiatan mereka.

“Kita juga merampas pelbagai peralatan lain seperti pemutar skru, pisau, spanar dan sebilah parang. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chang keong berkata, tiga suspek dalam kes pecah masuk kedai pakaian kanak-kanak dan kedai kopi berjaya ditahan, sekali gus berjaya menyelesaikan kes yang berlaku Ahad lalu.

Menurutnya, suspek berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditangkap di sekitar bandar raya ini pada Rabu lalu.

“Mereka melarikan beberapa pakaian termasuk botol minuman keras dan rokok dari kedua-dua premis berkenaan bernilai lebih RM4,000 berjaya dijumpai kembali.

“Bagaimanapun, wajah suspek berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain kecuaian suspek tertinggal telefon bimbit,” katanya.