Search This Blog

Saturday, January 5, 2013

Didakwa tipu 7 bakal pengantin




 
Kuantan: Bekas pengusaha butik pengantin dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas 42 tuduhan menipu tujuh bakal pengantin, membabitkan kerugian RM100,000 di sini, kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Azman Abu, 35, berasal dari Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar dan Ain Fadilah Md Ali, secara berasingan, manakala tertuduh diwakili peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Azman dituduh melakukan semua kesalahan itu di sebuah butik pengantin, D'Teratak Persona Anggun, Tingkat 1, Kompleks Teruntum, di sini, antara Julai hingga Ogos 2008.

Dia dikatakan memperdaya mangsa sehingga mereka menyerahkan wang tunai antara RM50 hingga RM9,350 atas pelbagai tujuan, termasuk pakej persiapan majlis perkahwinan, solekan, kek dan modal untuk pembelian pakaian pengantin.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan.

Semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah dan Majistret Rini Triany Mohamad Ali.
Tuan Ruzuaini membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi lapan pertuduhan dikendalikannya, manakala Rini Triany pula tidak menawarkan sebarang jaminan bagi 34 tuduhan dibacakan di hadapannya.

Mahkamah menetapkan 17 Januari ini sebagai tarikh prabicara semua kes terbabit.

No comments:

Post a Comment