Cuba rempuh polis
Polis melakukan pemeriksaan terhadap motosikal orang awam ketika membuat rondaan cegah jenayah dan pemeriksaan rambang.
KULIM - Cubaan empat remaja untuk melarikan diri dengan merempuh polis  menggunakan motosikal yang ditunggang menyebabkan mereka ditahan dalam rondaan pencegahan jenayah dan pemeriksaan rambang di Taman Kemuning, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, empat remaja berusia di antara 16 hingga 18 tahun dicekup Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim dan ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) diketuai Pemangku Ketua Balai Polis Kulim, Sub Inspektor Mohd Najib Abd Aziz yang membuat rondaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis dan PPKM membuat pemeriksaan terhadap kenderaan di kawasan taman perumahan berkenaan.

Menurutnya, ketika membuat pemeriksaan pihaknya menahan empat motosikal Honda EX5 yang ditunggang empat remaja berkenaan namun, mereka bertindak agresif  dan cuba merempuh polis.

“Keempat-empat remaj itu kemudiannya melarikan diri ke Taman Selasih dan berpecah sebaik sahaja masuk ke Taman Angsana.

"Polis mengejar suspek dan menghubungi  anggota lain untuk membuat sekatan jalan di Taman Kemuning," katanya kepad Sinar Harian.

Kata beliau, dua daripada empat motosikal cuba melarikan diri ke Taman Lembah Impiana sebelum masuk ke Taman Keranji, namun kesemua mereka dikepung di Taman Kemuning dan berjaya ditahan.

Jelasnya,  hasil pemeriksaan mendapati,  keempat-empat remaja berkenaan tidak mempunyai lesen memandu manakala motosikal yang ditunggang mereka tidak mempunyai cukai jalan.

"Kami turut mendapati dua dari empat motosikal ditukar dengan alat gantian dan kesemua remaja berkenaan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut," katanya.

Ghuzlan berkata, rondaan di kawasan taman perumahan akan dipertingkatkan bagi mencegah jenayah pecah rumah dan samun sering berlaku pada waktu awal pagi.

“Rondaan cegah jenayah dilakukan orang awam adalah baik namun, jika suspek bertindak agresif perlu membuat aduan kepada polis.

"Orang awam tiada hak menahan, memeriksa atau menangkap mana-mana individu yang dilihat mencurigakan,” katanya.