Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

Bomoh ‘Panji Langit’ nafi miliki senjata api




 0  0 Google +0  0  0 Cetak
Jasin: Seorang lelaki dipercayai bomoh yang terbabit ajaran sesat ‘Panji Langit’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan memiliki senjata api tiruan dan senjata berbahaya di sekitar daerah ini, tiga minggu lalu.

Mohd Jaffar Robani, 46, dari Asahan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dan memohon dibicarakan. Terdahulu, tertuduh yang berpakaian gelap dan berkopiah tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusoff.


Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu 29 pedang, 11 parang, tiga pisau graviti dan sebilah lembing di sebuah rumah di Kampung Chabau di sini, jam 4.30 petang, 5 Januari lalu. Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Jaffar didakwa memiliki empat pistol tiruan dan selaras senapang tiruan di sebuah rumah di kampung sama, jam 5.30 petang, 7 Januari lalu. Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjatapi 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Badariah Yusof manakala tertuduh diwakili peguam bela Suhaidi Zakaria.


Mohd Jaffar melalui peguamnya memohon kos jaminan berjumlah RM11,000 ditawarkan pendakwaan bagi dua pertuduhan itu dikurangkan dengan alasan sudah bekerjasama dengan polis sepanjang siasatan. Selain itu, tertuduh yang juga penduduk tempatan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Nurul Badariah bagaimanapun meminta kos dikekalkan kerana kesalahan membabitkan senjata berbahaya dan faktor keselamatan awam berikutan tertuduh menetap di kampung.


“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes perbicaraan selesai,” katanya. Selepas meneliti rayuan kedua-dua pihak, Siti Suriatey membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Mac depan.

No comments:

Post a Comment