Balasan anak derhaka
Rosman dihukum penjara kerana melakukan kekerasan terhadap ibunya dan menyimpan motosikal curi oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Seorang penganggur sanggup meletakkan pisau di leher ibunya sebelum cuba merampas rantai dan wang, dalam satu kejadian di kediaman mereka di Lorong Kiambang, Jalan Panji Alam, di sini, 5 Disember lalu.

Bagaimanapun, perbuatan Rosman Ali @ Yusof, 35, yang turut mengikat ibunya dengan tali rafia menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Rosman mengaku bersalah melakukan kekerasan jenayah dengan cara meletakkan pisau di leher ibunya, Zainab Mohd, 59, dengan niat cuba mencuri seutas rantai dan wang milik mangsa.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 356 Kanun Keseksaan itu di kediaman mereka pada kira-kira jam 3.30 pagi pada 5 Disember lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama, Rosman turut dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan juga selepas mengaku bersalah menyimpan sebuah motosikal curi jenis Honda EX5 milik Mohd Aliff Hafizi Ariffin, 29.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu di sebuah pondok di hadapan kawasan Masjid Raja, Bukit Besar, di sini, lebih kurang jam 4.15 pagi, pada 4 Januari lalu.

Noradila mengarahkan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala Rosman tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, semasa sedang tidur di ruang tamu rumah, ibu malang itu telah terjaga dari tidur selepas terasa ada sesuatu benda tajam di lehernya sebelum ternampak Rosman sedang berdiri di hadapannya sambil meletakkan pisau di leher.
Seterusnya, Rosman mengikat mangsa menggunakan tali rafia, tetapi mangsa berjaya membuka ikatan itu sebelum nekad merampas pisau yang dipegang oleh Rosman.
Mangsa menjerit sekuat hati meminta pertolongan jiran. Terkejut dengan reaksi ibunya, Rosman melarikan diri dengan terjun melalui tingkap dari salah sebuah bilik rumah berkenaan.
Namun, akhirnya pada 4 Januari lalu lebih kurang jam 4.15 pagi, dia ditangkap ketika sedang berehat di sebuah pondok di hadapan Masjid Raja, Bukit Besar, di sini.

Polis kemudian berjaya menemui semula motosikal milik seorang kontraktor yang dilaporkan dicuri pada 24 Disember lalu, lebih kurang jam 9.10 malam, di blok C, Flat Gelung Bilal, Jalan Pasir Panjang, di sini.