Anggota polis maut
Proton Wira dipandu mangsa remuk teruk dalam nahas di Kilometer 2, Jalan Mersing–Endau, awal pagi semalam.
Stainrod Collin Etian
Stainrod Collin Etian
MERSING - Seorang anggota  polis berpangkat lans koperal maut  selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Mersing-Endau, di sini, apabila kereta dipandunya  terbabas dan merempuh sebuah  treler yang diletakkan di tepi jalan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Stainrod Collin Etian, 26, yang  memandu Proton Wira meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Mersing, di sini, kerana mengalami  kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa adalah anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Pahang.

 Menurutnya, mangsa dipercayai baru pulang bercuti di kampungnya di Kuching, Sarawak dan baru tiba di Rompin, kelmarin.

“Mangsa dikatakan akan  mula bertugas hari ini (semalam),” katanya kepada Sinar Harian.

“Pemandu treler dilaporkan tidak mengalami  sebarang kecederaan kerana tidak  berada di dalam kenderaan berkenaan disebabkan berehat di rumah  seorang rakannya di Endau,” katanya.